Tertuduh yang menyamar sebagai polis (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Tertuduh yang menyamar sebagai polis (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penjual aksesori kereta yang menyamar sebagai pegawai polis didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, dekat sini, hari ini.

Tertuduh, Che Choon Shiung, 45, mengaku salah melakukan perbuatan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Tertuduh juga boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berpura-pura memegang jawatan pejawat awam iaitu pegawai polis dengan mengetahui bahawa dia bukan seorang pegawai polis dan cuba meminta kad pengenalan milik individu lain.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tepi jalan di Batu Bakar, Bahau pada jam 10 malam, 12 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah mengurangkan hukuman denda berikutan hanya mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan selain turut diisytiharkan muflis.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 1:02 PM