MOHAMMAD Khatib berusaha mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di bawah runtuhan.
MOHAMMAD Khatib berusaha mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di bawah runtuhan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Masih kedengaran suara rintihan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri dan rumah selepas 24 jam gempa bumi kuat berlaku awal pagi semalam (kelmarin)," ujar wakil yang juga Pengerusi pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (MCM) cawangan Turkiye, Mohammad Khatib.

Dia yang dihubungi wartawan Harian Metro semalam berkata, terdapat ramai mangsa yang masih gagal diselamatkan berikutan kekurangan jentera berat selain kawasan bencana yang luas di tenggara Turkiye.

"Saya dan ramai sukarelawan lain berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. Ramai antara mereka menjerit meminta tolong supaya dibawa keluar dari dalam runtuhan.

"Saya sendiri menggunakan kudrat dan batang besi untuk mengangkat sisa batu runtuhan sebelum merangkap masuk melalui lubang untuk menarik keluar mangsa seorang kanak-kanak lelaki," katanya,

Menurutnya, kanak-kanak lelaki itu ditemui selamat dan dihantar ke hospital.

"Setakat ini usaha mencari mangsa yang masih terperangkap dan selamat diteruskan. Jumlah sebenar mangsa yang terkorban terus meningkat setiap jam.

"Rata-rata mangsa yang kehilangan tempat tinggal terpaksa berlindung di dalam masjid atau tidur di dalam kenderaan berikutan bimbang berlakunya gempa bumi susulan," katanya.

Menurutnya, bencana alam yang berlaku jam 4.17 pagi waktu tempatan itu meragut sekurang-kurangnya 3,000 nyawa setakat ini serta mengakibatkan beribu mangsa lain cedera.

"Lebih menyedihkan apabila ramai kanak-kanak terkorban akibat ditimpa runtuhan kediaman masing-masing. Mereka tidak sempat lari menyelamatkan diri berikutan sedang tidur.

"Gempa bumi ini menyebabkan kerosakan teruk kepada kediaman dan bangunan membabitkan Wilayah Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakır, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis," katanya.

Sementara itu Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihak berkongsi kesedihan dan akan segera melakukan misi kemanusiaan bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Menurutnya, suhu di lokasi bencana yang jatuh di bawah paras beku - 5 darjah Celcius pastinya memburukkan lagi keadaan terutama bagi mangsa yang kehilangan kediaman.

"Setakat ini dilaporkan 1,710 bangunan dan kediaman musnah dalam bencana alam terbesar itu. Malah angka korban dijangka terus meningkat berikutan kejadian gempa bumi susulan 7.2 skala Richter yang dilaporkan berlaku di Malatya, Turkiye," katanya.

Zulkifli berkata, sukarelawan MCM diketuai Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail akan memulakan misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye hari ini.

Menurutnya, sumbangan bantuan berbentuk kewangan untuk mangsa gempa bumi boleh disalurkan melalui capaian https://muslimcaremalaysiasociety.com/ms/kempen/tabung-kecemasan-gempa-t.

Sumbangan turut boleh disalurkan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 12:00 PM