Redzuan Muharam


Puchong: Sebelum ini Shazwan Affendy Abdul Wahab sentiasa berkongsi rutin perkembangan ibunya, Hamidah Mohamed Nor yang menanggung derita selama 18 tahun akibat penyakit buah pinggang.

Lelaki berusia 31 tahun itu meluahkan isi hatinya menerusi perkongsian video di TikTok dengan niat mendapat doa daripada mereka yang menonton.

Kini, ia hanya tinggal kenangan apabila ibunya dijemput Ilahi pada petang 22 Januari lalu.

"Niat saya memuat naik video dan berkongsi perkembangan harian emak sebelum ini adalah sekadar untuk meminta doa daripada orang ramai.

"Sejak itu, ramai juga mahu tahu perkembangan emak setiap hari, namun ada juga yang salah faham dan beranggapan saya buat 'live' dan muat naik video di TikTok demi 'content', mahu meraih simpati serta inginkan 'gift'.

"Hakikatnya, apa yang saya harap cuma mahu mereka mendoakan kesihatan emak, tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Shazwan Affendy berkata, ketika masih hidup, ibunya menjalani prosedur cuci air pada tiga tahun pertama sebelum beralih kepada rawatan dialisis dengan tiga sesi setiap minggu.

"Emak sudah lama sakit, cuma penyakitnya semakin serius sejak September tahun lalu apabila dimasukkan ke hospital akibat paru-paru berair dan jangkitan kuman. Dua minggu emak ditidurkan dan saya berkesempatan menjaganya.

"Bagaimanapun pada 1 Januari lalu, emak mengalami sesak nafas jadi saya terus membawanya ke Hospital Serdang walaupun sebelum ini dia mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Ayah pula bekerja sebagai pembantu di kedai perabot, namun saya perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga emak sebagai anak sulung," katanya.

Meskipun ada tugas hakiki sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat, Shazwan Affendy tetap mencari masa untuk menemani ibunya sebelum ini di hospital pada waktu melawat.

"Ikutkan saya bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang, namun saya minta izin daripada majikan untuk pulang awal pada 2 petang.

"Mujur majikan faham dan jujurnya, saya tidak berasa terganggu dalam soal kerja, malah menjadikan emak sebagai kekuatan serta inspirasi kepada saya dan adik-beradik lain.

"Ini kerana emak tetap positif dan kuat untuk anak-anak walaupun sakit. Ketika sihat, emak seorang yang aktif dan dia masih tidak duduk diam malah pernah berniaga selepas sudah disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

"Kami adik-beradik pernah mahu mendermakan buah pinggang, tetapi emak enggan terima kerana baginya, perjalanan hidup kami masih jauh," katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian ibunya dan bersyukur kerana pernah diberi kesempatan berbakti kepada orang tua sekali gus mengakui masih terkenang memori bersama 'syurganya' itu.

"Sehari sebelum meninggal dunia, emak ada ada beritahu dia hendak pergi dan pesan jaga adik elok-elok. Tak sangka emak benar-benar pergi buat selamanya.

"Salah satu impiannya (emak) yang tidak sempat saya tunaikan adalah berkahwin kerana dia teringin sangat lihat saya berumah tangga.

"Insya-Allah saya akan berkahwin jika ada jodoh dan mohon jasa baik semua untuk menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah emak," katanya.

GAMBAR kenangan  Shazwan Affendy Abdul Wahab dan ibunya, Hamidah Mohamed Nor pada hari konvokesyen. FOTO Ihsan Shazwan Affendy
GAMBAR kenangan Shazwan Affendy Abdul Wahab dan ibunya, Hamidah Mohamed Nor pada hari konvokesyen. FOTO Ihsan Shazwan Affendy

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 3:17 PM