Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Memang saya sakit tetapi saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Saya berazam mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana bercita-cita menjadi akauntan," luah M Thivyaroshini, pesakit Sindrom Superior Mesenteric Artery (SMAS) iaitu penyakit berkaitan usus, saluran makanan dan darah.

Thivyaroshini, 17, yang menetap di Taman Muhibbah, Port Dickson, Negeri Sembilan bersama ibunya, G Rani, juga berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas tangan kirinya dipotong separas siku akibat alahan dan masalah saraf pada 2008.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, penyakitnya dikesan bermula pada Februari tahun lalu apabila dia sering rasa loya dan memuntahkan semula makanan serta minuman kerana tidak boleh menghadam apa yang ditelan.

Hasil pemeriksaan awal di Klinik Kesihatan Port Dickson mendapati, keadaan kesihatannya normal namun dia berterusan mengalami masalah terbabit.

Bagaimanapun, kesihatan Thivyaroshini semakin merosot hingga berat badannya turun mendadak sebelum dia dirujuk ke Hospital Port Dickson.

"Sejak tahun lalu, saya kerap berulang alik ke hospital kerana masalah kesihatan ini.

"Selepas melalui beberapa pemeriksaan, pada Ogos lalu, doktor mengesahkan usus saya mengecut.

"Pada 14 Oktober lalu, saya dimasukkan ke hospital selama hampir sebulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah 12 November lalu," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Thivyaroshini, sepanjang di hospital, ibunya yang menjaganya dan dia kini bergantung dengan tiub khas di hidung untuk membolehkannya minum susu tanpa muntah.

"Tahun lalu, kakak sulung (Anitha, 30) membantu menjaga saya tetapi dia sudah berkahwin dan menetap di Arab Saudi manakala seorang lagi kakak, (Yuganesh, 26) bekerja di Selangor.

"Emak sebenarnya tidak berapa sihat kerana kakinya bengkak dan kini, kami saling menjaga satu sama lain.

"Saya masih perlu ke hospital untuk rawatan. Ada kalanya, saya dan emak akan menaiki kenderaan e-hailing namun kami akan berjalan kaki jika tidak cukup wang," katanya.

Thivyaroshini berkata, buat masa ini, dia dan ibunya bergantung kepada elaun RM800 sebulan diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak bapanya, R Maganteran meninggal dunia.

"Ayah dulu bekerja sebagai pemandu lori tetapi meninggal dunia empat tahun lalu akibat barah buah pinggang.

"Sejak itu, kehidupan kami berubah dan saya mahu segera sembuh kerana mahu belajar serta menjalani hidup seperti dulu," katanya.

Terdahulu, nasib Thivyaroshini dan ibunya mendapat perhatian Pengasas MyKasihCare, Syed Shukri Nizam Jaafar yang hadir menyampaikan sumbangan komputer riba dan barangan keperluan untuk dua beranak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:28 PM