DR Mohd Shahrul Ezwan dan Ahmad pada hari kelima selepas pembedahan. FOTO IHSAN DR MOHD SHAHRUL EZWAN AHMAD
DR Mohd Shahrul Ezwan dan Ahmad pada hari kelima selepas pembedahan. FOTO IHSAN DR MOHD SHAHRUL EZWAN AHMAD
Redzuan Muharam


TIDAK ramai sanggup mendermakan organ sendiri kepada insan lain kerana memikirkan risiko bakal ditanggung di kemudian hari.

Bagaimanapun, masih ada segelintir individu yang rela melakukan pengorbanan buat ahli keluarga sendiri.

Semuanya kerana tidak sanggup melihat insan tersayang terus menanggung derita.

Pengorbanan itu satu daripada ikhtiar bagi memastikan ahli keluarga mereka berpeluang meneruskan kehidupan harian serta kembali sihat.

Ikuti temu bual Metro Ahad bersama tiga penderma buah pinggang bagi mengetahui kisah di sebalik pengorbanan mereka.


Shah Alam: "Setiap hari, saya merawat pesakit di hospital. Apa guna saya jadi doktor jika tidak dapat bantu ayah sendiri yang sakit kerana banyak pengorbanannya untuk keluarga," kata penderma buah pinggang, Dr Mohd Shahrul Ezwan Ahmad.

Dr Mohd Shahrul Ezwan, 35, nekad mendermakan buah pinggang kiri untuk bapanya, Ahmad Sulaiman, 63, menerusi pembedahan transplan yang dilakukan pada 14 Mac 2019 sebagai usaha untuk membalas budi bapanya itu.

Pembedahan itu berjalan lancar dan Dr Mohd Shahrul Ezwan yang juga pegawai pergigian di Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Shah Alam, Selangor bersyukur kerana kesihatan bapanya bertambah baik dan tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis.

Bercerita lanjut, Dr Mohd Shahrul Ezwan berkata, hatinya terdetik untuk menjadi penderma selepas melihat keadaan bapanya yang tidak lagi cergas terutama selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pada akhir 2018.

"Jika diikutkan, ayah tidak pernah sakit sehingga selepas saya pulang bercuti dari luar negara empat tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ayah menghidap penyakit buah pinggang tahap lima dan sejak itu, saya cuba cari jalan untuk bantu. Satu daripadanya ialah dengan membawa ayah menjalani rawatan dialisis.

"Saya ada juga terbaca mengenai transplan namun ketika itu tiada lagi niat menderma organ sehingga disyorkan rakan," katanya.

DR Mohd Shahrul Ezwan (kanan) menderma buah pinggang bagi membalas budi dan menghargai pengorbanan bapanya. FOTO IHSAN DR MOHD SHAHRUL EZWAN AHMAD
DR Mohd Shahrul Ezwan (kanan) menderma buah pinggang bagi membalas budi dan menghargai pengorbanan bapanya. FOTO IHSAN DR MOHD SHAHRUL EZWAN AHMAD

Dr Mohd Shahrul Ezwan berkata, sebelum membuat keputusan, dia terlebih dahulu berbincang dengan isteri, Aimi Nasruddin, 34, dan ahli keluarga selain melakukan solat istikharah bagi meminta petunjuk serta memohon dipermudahkan urusan.

Dr Mohd Shahrul Ezwan turut merujuk artikel kesihatan selain mengikuti program anjuran Community Organ Donation Drive (CODE: Life) bagi mengetahui lebih lanjut mengenai prosedur transplan dan bukan hanya memberi kefahaman kepadanya namun menambah keyakinannya untuk menderma buah pinggang.

"Saya ada ke rumah keluarga untuk bertemu ayah dan emak mengenai hasrat saya itu.

"Ayah mulanya terdiam sebelum menangis sebaik saya suarakan hasrat menjadi penderma kerana tidak sangka saya akan menawarkan diri," katanya.

Katanya, bapanya memintanya mendapatkan pandangan isteri selain memikirkannya semasak-masaknya.

Beliau menjawab yang isterinya tahu berkaitan perkara itu, malah menyokongnya.

Bukan itu saja, isteri Dr Mohd Shahrul Ezwan turut sudah berdaftar sebagai penderma organ.

"Saya fikir, ini caranya untuk membantu ayah yang gigih mencari rezeki untuk menyara keluarga.

"Kegigihannya itu yang buat saya belajar bersungguh-sungguh sehingga menerima tawaran menyambung pengajian di universiti. Alhamdulillah, kehidupan kami kini tidak susah seperti dulu," katanya.

Berkongsi proses dilaluinya, Dr Mohd Shahrul Ezwan berkata, dia tidak terkecuali daripada menjalani semua saringan yang ditetapkan sebelum dibenarkan menjalani transplan.

"Sama seperti penderma lain, saya turut melalui proses saringan kesihatan dan ia memang mengambil masa yang agak lama. Saya sendiri perlu menunggu tiga bulan dan tempoh menunggu lebih pendek kerana ada peringkat saringan yang saya lakukan sendiri di makmal swasta," katanya.

Biarpun kini memiliki satu buah pinggang saja, Dr Mohd Shahrul Ezwan berkata, dia masih boleh bekerja dan melakukan rutin bersukan seperti berenang, berlari juga mendaki seperti biasa.

MD Azmi  menderma buah pinggang buat isterinya, Norazwani.
MD Azmi menderma buah pinggang buat isterinya, Norazwani.


Tak sanggup lihat isteri terus derita

Kuala Lumpur: "Takut juga untuk jalani pembedahan namun saya lakukannya dengan rela demi isteri," kata bapa seorang anak yang juga penderma buah pinggang, Md Azmi Narawi.

Md Azmi, 40, mendermakan buah pinggang kirinya untuk isteri tercinta, Norazwani Jalani, 35, pada 26 Februari 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dia yang menetap di Kampung Paung Maragang, Membakut, Sabah mengakui berfikir panjang sebelum membuat keputusan itu namun nekad menjadi penderma kerana tidak sanggup lagi melihat isterinya menderita dan berterusan melakukan dialisis akibat penyakit buah pinggang.

"Isteri saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak Februari 2012 iaitu sembilan bulan sebelum kami berkahwin.

"Penyakit itu menyebabkan kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi dan jika diikutkan, saya dan adik ipar yang mahu menderma.

"Bagaimanapun, hasil ujian saringan dijalankan mendapati saya lebih layak menjadi penderma berbanding adik ipar," katanya dihubungi Metro Ahad.

Menurut Md Azmi, keputusannya itu mendapat sokongan keluarga kedua belah pihak.

Bagaimanapun, bukan sekejap sebaliknya Md Azmi dan isteri perlu menunggu hampir dua tahun untuk diberi tarikh menjalani pembedahan oleh pihak hospital.

"Ada beberapa proses saringan kesihatan yang perlu saya lalui sebelum disahkan layak menjadi penderma buah pinggang. Saya perlu ikuti prosedur ditetapkan manakala isteri pula banyak habiskan masa di pusat dialisis.

"Kami tidak dapat luangkan banyak masa bersama. Kini, saya bersyukur kerana isteri dapat hidup normal tanpa perlu menjalani rawatan dialisis walaupun masih perlu memakan ubat disyorkan," katanya yang mencari rezeki sebagai pembuat biskut.

Tak sanggup lihat kakak menanggung derita

Dubai: Keinginan melihat insan tersayang kembali sihat dan menjalani hidup normal mendorong Hafis Firdaus Mohamad mendermakan buah pinggang untuk kakak sulungnya, Norhamira.

Hafis Firdaus, 32, yang bekerja sebagai eksekutif kewangan dan kini menetap di Dubai Marina berkata, pembedahan transplan itu dilakukan pada selepas melepasi saringan kesihatan.

Katanya, isteri dan keluarga menyokong penuh hasratnya itu, malah memberi semangat bermula sebelum sehingga selesai transplan.

"Sebagai adik, saya tentunya tidak sanggup melihat kakak yang berusia 37 tahun menanggung derita sebagai pesakit buah pinggang.

"Ini kerana, kakak perlu jalani rawatan dialisis dan lebih kasihan apabila melihat lengannya sentiasa dicucuk jarum untuk mengambil darah.

"Mengenangkan keadaan kakak, saya dengan rela hati menawarkan diri untuk menjadi penderma kerana kebetulan bekerja di Kuala Lumpur, jadi lebih mudah untuk berurusan di Pusat Transplan Negara dekat ibu kota," katanya.

Menurut Hafis Firdaus, beberapa kali juga pembedahan ditangguhkan berikutan tahap kesihatan kakaknya yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, Hafis Firdaus bersyukur kerana diizinkan Allah SWT untuk menjalani transplan bagi menyempurnakan niat membantu kakaknya.

"Perasaan takut dan risau memang ada kerana perlu menjalani pembedahan besar. Kerana itu, saya buat carian maklumat mengenai transplan buah pinggang dan lebih yakin apabila doktor membantu dengan memberi banyak maklumat.

"Prosesnya (menderma buah pinggang) tidak mudah namun keluarga banyak beri galakan, malah isteri terima dan sokong keputusan saya," katanya.

Hafis Firdaus bersyukur kerana tidak mengalami sebarang komplikasi yang mengganggu kesihatannya selepas menjalani transplan.

Bagaimanapun, apa yang lebih membuatkannya gembira adalah melihat kakaknya kembali sihat dan bebas daripada penyakit.

Katanya, selepas menjalani transplan, dia perlu melakukan pemeriksaan kesihatan, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 12:00 PM