KHAI Bahar. FOTO Arkib NSTP
KHAI Bahar. FOTO Arkib NSTP
Fatin Farhana Ariffin

Kuala Lumpur: Ibu Khai Bahar, iaitu Rosnah Muhammad, 61, dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis sejak Sabtu lalu, akibat sesak nafas.

Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 29, berkata, keadaan ibunya, bagaimanapun, bertambah baik.

"Emak sesak nafas dan dimasukkan ke wad, Sabtu lalu. Sekarang emak bertambah baik tapi doktor masih pantau.

"Emak juga perlu ambil ubat bagi meredakan keadaannya. Emak alami sakit buah pinggang sejak enam bulan lalu dan berulang alik menjalani proses dialisis," katanya.

Khai yang pulang ke Kangar memberitahu, ibunya pada waktu sama, mempunyai masalah paru-paru, hati dan jantung.

"Saya sampai dari Kuala Lumpur, semalam. Emak seronok dapat jumpa saya. Sejak emak kurang sihat, saya cuba pulang ke Kangar antara tiga hingga empat kali sebulan," katanya.

Ditanya mengapa tidak dibawa ibu menjalani rawatan di Kuala Lumpur, Khai berkata, keluarga memutuskan agar ibu dirawat di Perlis.

"Sebelum ini, saya pernah bawa emak ke sini dan berjumpa pakar. Doktor minta putuskan sama ada hendak teruskan rawatan di Kuala Lumpur atau di Perlis.

"Keluarga saya putuskan emak dirawat di Perlis kerana ahli keluarga saya ramai menetap di sini. Saya ada 10 adik beradik yang menetap di Perlis.

"Lagipun, pusat dialisis dekat dengan rumah. Kalau di Kuala Lumpur, mungkin jauh dengan rumah saya.

"Jadi, di kampung lebih baik... Takut juga emak rimas di sini," katanya yang memuat naik foto dirinya memegang tangan ibu di Instagram Story (IGs) bagi berkongsi keadaan kesihatan insan tersayang itu.

Dalam program Melodi terbitan TV3, semalam, Khai tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air ketika berkongsi mengenai kesihatan ibunya yang semakin merosot akibat sakit buah pinggang.

Disebabkan itu dia kini lebih fokus untuk menjaga ibunya meskipun jadual kerja padat dan akan cuba sedaya upaya untuk pulang ke Perlis.

"Keadaan emak saya semakin merosot kerana dia sakit buah pinggang tahap akhir. Saya terkilan sebab saya sibuk. Jadi, saya tidak boleh jangka keadaan emak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 6:00 PM