Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang suri rumah rugi apabila wang simpanannya sebanyak RM34,299 lesap selepas dipindahkan ke empat akaun yang tidak dikenali.

Mangsa, Lai Mui Ken, 57, berkata, dia menyedari perkara berkenaan apabila menyemak baki akaun bank secara dalam talian pada 29 Disember lalu.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati sebanyak enam transaksi ke empat akaun bank tidak dikenali dilakukan tanpa pengetahuannya pada 27 dan 28 Disember lalu.

Katanya, pada 27 Disember lalu, transaksi wang dilakukan mulai 1 tengah hari hingga 2 petang.

"Transaksi pertama sebanyak RM7,000 dilakukan ke akaun bank seorang wanita dikenali sebagai Nurani, diikuti RM7,110 ke akaun seorang lagi wanita dikenali sebagai Emmalia serta transaksi diulangi ke akaun Nurani sejumlah RM5,890 serta transaksi pembayaran RM8,800 ke sebuah syarikat.

"Transaksi sebanyak RM3,999 pula dilakukan pada 28 Disember lalu pada jam 10.34 pagi ke akaun Wan Muhammad serta RM1,500 pada jam 10.35 pagi ke akaun individu yang sama.

"Secara keseluruhannya saya kehilangan RM34,299, manakala baki akaun ditinggalkan hanya RM20," katanya yang tinggal di Taman Johor Jaya di sini.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, wang simpanan berkenaan adalah hasil menjual minuman herba sebelum ini selain pemberian anak serta suaminya yang merupakan seorang pesara.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan kehilangan wang di akaunnya adalah angkara scammer.

Katanya, selain membuat laporan polis pada 29 Disember lalu, dia turut mengadu di Bank Negara Malaysia (BNM) dan sebuah bank di Jalan Ros Merah di Taman Johor Jaya.

"Setakat ini, saya tidak pernah berkongsi butiran akaun saya mahupun maklumat peribadi kepada mana-mana individu dan saya juga tidak aktif berurusan dalam talian.

"Saya pelik bagaimana akaun saya boleh digodam selain lebih mengecewakan sehingga kini tiada sebarang maklum balas hasil aduan dilakukan kepada pihak bank.

"Mereka mendakwa bagi setiap transaksi yang berlaku sudah menghantar kata laluan sekali saja (OTP), namun saya langsung tidak terima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadu masalah dihadapinya itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya Liow Cai Tung di Pejabat Wakil Rakyat di Jalan Rosmerah, Taman Johor Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, Cai Tung berharap pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan segera terhadap kes seperti itui.

"Kita dapati pemilik akaun terbabit masih aktif dan belum disenaraihitamkan, kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan kepada pemilik yang mungkin menjadi orang tengah (mule account) kepada sindiket penipuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan ada menerima laporan mengenainya dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 12:51 PM