Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan berhubung cadangan supaya waktu sesi persekolahan bermula jam 8 pagi, kata menterinya, Fadhlina Sidek.

Setakat ini, beliau berkata, tiada sebarang ketetapan dibuat kementerian berhubung perkara berkenaan.

"Kita mendengar (cadangan sesi persekolahan bermula jam 8 pagi) tapi yang penting juga adalah pandangan daripada ibu bapa dan semua pemegang taruh pendidikan.

"Pandangan itu kita (kementerian) ambil tetapi kita juga harus melihat keseluruhan pandangan. Saya pastinya pandangan itu akan diambil kira," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikam Seminar Perdana NUTP 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden NUTP Aminuddin Awang dan Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon.

Terdahulu, Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad menyuarakan cadangan kepada KPM untuk memulakan sesi persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi.

Katanya, cadangan itu adalah selaras atau meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan 'Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera'.

Fadhlina berkata, perkara itu akan dibincangkan namun ia tidak menjadi keutamaan berbanding isu lain yang perlu diambil berat pihaknya terlebih dahulu.

Fadhlina dan Aminuddin bersama peserta seminar di Majlis Perasmian Seminar Perdana NUTP 2023 di Hotel Sunway Putra. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Fadhlina dan Aminuddin bersama peserta seminar di Majlis Perasmian Seminar Perdana NUTP 2023 di Hotel Sunway Putra. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 6:31 PM