DR Radzi bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama
DR Radzi bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sistem persekolahan secara penggiliran adalah kaedah terbaik boleh dilakukan bagi memastikan kelangsungan sesi Pengajaran dan Pembelajaran dapat dijalankan.

Menerusi kaedah itu, murid dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah, manakala satu lagi kumpulan belajar meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya berpuas hati dengan langkah diumum kerajaan, sambil menyifatkannya langkah terbaik bagi mengelak keciciran dalam pembelajaran.

"Sebelum ini NUTP sudah memberikan cadangan penggiliran ini.

"Ia kaedah tepat untuk memastikan murid dapat ke sekolah serta pada masa sama, dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu 50 peratus kehadiran secara bersemuka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, masalah utama ketika persekolahan secara bersemuka diadakan ialah ketika waktu pulang apabila berlaku kesesakan di luar jangka.

Menurutnya, biarpun dikawal guru, jumlah begitu ramai keluar sekolah pada satu-satu masa menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.

"Kami menyambut baik sesi persekolahan dilanjutkan ke tahun depan kerana ia dapat memberi peluang kepada guru untuk menilai PdPR dan persekolahan sebelum ini.

"Ia memang langkah baik kerana kita dapat melakukan persediaan kepada semua termasuk murid, kita harap tahun depan sesi persekolahan akan diadakan secara bersemuka sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu sidang media berkata, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Feb 2022 dan sesi tahun depan bermula 1 Mac 2022.

Katanya, ia tempoh bagi melihat tahap penguasaan murid dan pelajar selain memastikan mereka lebih bersedia memasuki sesi persekolahan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 5:39 PM