Ramlah yang membeli menu Rahmah. Tinjauan Menu Rahmah yang disediakan di restoran Ali Maju yang bermula hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ramlah yang membeli menu Rahmah. Tinjauan Menu Rahmah yang disediakan di restoran Ali Maju yang bermula hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jimat sehingga dua kali ganda. Demikian luahan orang ramai berhubung inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5 dan ke bawah.

Pelanggan, Ramlah Hussin, 67, berkata harga makanan menu berkenaan amat murah berbanding harga biasa iaitu sekitar RM10 hingga RM20 bagi setiap hidangan.

"Hari ini saya bungkus dua set Menu Rahmah dengan lauk ayam goreng dan sayur kubis untuk anak-anak dan saya berpuas hati dengan saiz hidangan yang banyak pada harga RM5.

"Saya pilih untuk beli menu ini kerana ia murah berbanding harga biasa. Saya harap inisiatif terus akan dilaksanakan dan tidak berhenti separuh jalan memandangkan ramai rakyat hidup susah sekarang," katanya ketika ditemui di Restoran Ali Maju di Setapak di sini, hari ini.

Namun Ramlah yang juga peniaga kedai makan berkata, meskipun inisiatif itu adalah sesuatu yang baik, namun dia tidak berhasrat untuk menyediakan Menu Rahmah di kedainya.

"Saya sendiri tidak berhasrat untuk menyediakan menu itu kerana saya berniaga kecil-kecilan sahaja.

"Sukar untuk saya jual harga murah memandangkan kos bahan mentah mahal," katanya.

Seorang lagi pelanggan, R Rambianay, 32, berkata, dia dapat berjimat dan mengurangkan kos perbelanjaan dengan membeli menu berkenaan setiap hari.

"Kebiasaannya setiap kali saya makan di luar (restoran), saya perlu belanja antara RM30 hingga RM35 sehari untuk makan tengah hari dan makan malam.

"Apabila ada menu begini, saya boleh jimat hingga dua kali ganda apabila hanya perlu belanja RM10 sehari untuk dua kali makanan dengan kuantiti hidangan yang mengenyangkan.

"Saya perlu berjimat kerana perlu sara isteri dan dua anak dengan gaji RM1,750 sebulan," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, restoran berkenaan menawarkan dua jenis hidangan Menu Rahmah bermula semalam.

"Apa yang kita tawarkan untuk menu itu di semua rangkaian restoran ini adalah hidangan ayam bersama sayur serta air teh 0 atau mineral pada harga RM5.

"Saya juga ada memikirkan beberapa lagi hidangan untuk ditawarkan pada harga RM5 dalam masa terdekat memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata, dianggarkan 20 peratus hingga 30 peratus restoran di bernaung di bawah persatuan itu sudah melaksanakan inisiatif itu.

"Saya difahamkan ada restoran yang belum melaksanakan inisiatif itu kerana masih menunggu standard poster oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Jika ditanya mengenai soal keuntungan, sejujurnya memang tiada untung tetapi tidak juga kata rugi. Sepatutnya kedai kecil lagi senang untuk tawar menu ini sebab kadar sewa mereka lebih rendah.

"Kita tanya diri sendiri sama ada mahu menyumbang kepada komuniti dengan menjayakan inisiatif ini yang baik untuk rakyat," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan hampir 15,000 premis menjual makanan setakat ini menyertai inisiatif Menu Rahmah yang bakal menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5 dan ke bawah.

Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub dipetik berkata, inisiatif itu dilancarkan kementerian itu, semalam, bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 1:55 PM