TAN Sri Razarudin Husain menyampaikan sijil anugerah kontinjen terbaik kepada Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada majlis penutup Op Selamat -19 di sini, hari ini.
TAN Sri Razarudin Husain menyampaikan sijil anugerah kontinjen terbaik kepada Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada majlis penutup Op Selamat -19 di sini, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Op Selamat 19 yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina mencatatkan peningkatan kemalangan jalan raya sebanyak 41 peratus kepada 15,999 kes tahun ini berbanding 11,325 kes pada 2022 lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kes kemalangan meningkat sebanyak 4,674 kes dengan 121 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh sama.

Menurutnya, sebanyak 134 kematian dicatatkan berbanding 119 kematian pada tahun lalu.

"Penunggang dan pembonceng motosikal kekal angka korban tertinggi iaitu 81 kematian sepanjang Op Selamat 19.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan maut membabitkan 30 lokasi panas di Lebuhraya Utara-Selatan selain 234 'blackspot' dikenal pasti di jalan raya seluruh negara," katanya pada Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, Kontinjen Kuala Lumpur menerima Anugerah Kontinjen Terbaik, manakala Daerah Terbaik dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Selatan.

Razarudin berkata, tindakan di titik hitam baharu akan dikenal pasti bagi penambahbaikan daripada sudut infrastruktur dengan membabitkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 19, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara.

"Jumlah ini menurun berbanding tahun lalu iaitu 308,726 saman. Saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus enam kesalahan utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 4:55 PM