RAZARUDIN Husain (tiga kanan) melepaskan pasukan petugas OP Selamat 18 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM, baru-baru ini. FOTO Saifullizan Tamadi
RAZARUDIN Husain (tiga kanan) melepaskan pasukan petugas OP Selamat 18 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM, baru-baru ini. FOTO Saifullizan Tamadi
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 121 kemalangan maut membabitkan 125 kematian direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tujuh hari Op Selamat 18 dilancarkan.

Berdasarkan statistik dikongsikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, angka itu adalah daripada 11,489 kemalangan membabitkan 14,936 kenderaan.

Katanya, angka berkenaan meningkat berbanding Op Selamat 15 pada 2019 yang mencatatkan 11,038 kemalangan dengan 112 kemalangan maut dengan 118 kematian membabitkan 14,126 kenderaan.

"Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kematian tertinggi iaitu 78 kes.

"Dalam Op Selamat 18, kematian membabitkan kereta lebih tinggi iaitu 34 kes berbanding 30 pada Op Selamat 15.

"Pejalan kaki pula penyumbang ketiga tertinggi kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, pada hari ketujuh Op Selamat iaitu semalam sahaja, sejumlah 1,673 kemalangan dicatatkan dengan Selangor teratas membabitkan 288 kemalangan diikuti Johor (260) dan Perak (178), manakala Perlis mencatatkan kemalangan terendah iaitu 11 kemalangan.

Menurutnya, daripada 1,673 kemalangan itu, 12 nyawa terkorban membabitkan tiga kematian di Perak dan Johor, dua (Pahang), serta masing-masing satu kematian di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Sementara itu, sebanyak 214,570 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pengguna jalan raya sepanjang tujuh hari Op Selamat 18.

"Ia adalah peningkatan sebanyak 69,553 saman atau 48 peratus berbanding saman dikeluarkan tempoh sama Op Selamat 15 iaitu 145,017 saman.

"Enam kesalahan utama penyebab saman dikeluarkan setakat hari ketujuh Op Selamat 18 ialah melebihi had laju (154,401 saman), kesalahan melanggar lampu isyarat (2,626 saman), memotong barisan (1,500 saman), menggunakan alat komunikasi (1,293 saman), memotong di garisan berkembar (669 saman) dan memandu di lorong kecemasan (567 saman)," katanya.

Beliau berkata, kemalangan jalan raya mengikut jenis jalan sehingga hari ketujuh Op Selamat 18 pula, lebuh raya (1,204 kemalangan), jalan persekutuan (2,527 kemalangan), jalan negeri (2,263 kemalangan), jalan bandaran (4,504 kemalangan) dan jalan lain-lain sebanyak 991 kemalangan.

Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri dilancarkan selama 10 hari bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 8:10 PM