EMPAT sekeluarga maut dalam kemalangan berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Bentong, pada 22 Januari lalu. FOTO ihsan bomba dan polis
EMPAT sekeluarga maut dalam kemalangan berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Bentong, pada 22 Januari lalu. FOTO ihsan bomba dan polis
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sebanyak 12 kes kemalangan maut dengan 16 kematian direkodkan di Pahang sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina selama 10 hari bermula 28 Januari hingga kelmarin.

Jumlah kes kemalangan maut itu sama seperti direkodkan pada Ops Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina 2020, namun bilangan kematian meningkat satu kes berbanding sebelum ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud berkata, daripada 553 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh 10 hari pelaksanaan op itu termasuk satu kes kemalangan membabitkan parah dan tiga kes cedera ringan.

"Secara keseluruhan jumlah kes kemalangan turun 97 kes berbanding 650 kes direkodkan pada Ops Selamat 16 di Pahang.

"Sepanjang tempoh itu, 15,205 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya di negeri ini dengan Kuantan mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 5,003 saman diikuti Lipis (1,861), Temerloh (1,831), Raub (1,219), Rompin (1,177) dan Bentong (1,068).

"Sebanyak 884 saman dikeluarkan di Pekan, Jerantut (813), Bera (588), Maran (385) dan Cameron Highlands (376)," katanya dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, dalam tempoh itu, 13 tangkapan dilakukan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol dan memandu atau menunggang secara melulu serta berbahaya.

Beliau berkata, turut ditahan mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah dan menghalang penjawat awam serta melakukan kekerasan terhadap anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 7:03 PM