GAMBAR HIASAN. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
GAMBAR HIASAN. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 308,726 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Op Selamat 17 berbanding 271,168 saman pada operasi sama, tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia merekodkan peningkatan jumlah saman sebanyak 37,558 atau 14 peratus.

Beliau berkata, secara keseluruhannya Op Selamat 17/2022 itu berjaya merekodkan penurunan jumlah kemalangan jalan raya iaitu 11,325 kes berbanding 15,382 sebelumnya.

"Jumlah kemalangan maut merekodkan 108 kes berbanding 133 kes Op Selamat 16/2020, penurunan 25 kes atau 19 peratus.

"Sejumlah 119 kes kematian dicatatkan berbanding 149 kes pada Op Selamat sebelumnya, dengan penurunan 30 kes atau 20 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Op Selamat bukan hanya tertumpu kepada keselamatan jalan raya, bahkan keselamatan rumah ditinggalkan semasa perayaan turut diambil perhatian.

Menurutnya, dalam Op Selamat 17/2022, PDRM menjalankan 84,687 rondaan ke atas rumah dan premis ditinggalkan.

Katanya, taburan jenayah pecah rumah bagi seluruh negara mencatatkan 326 kes iaitu penurunan 35 peratus berbanding 502 kes pada op sebelumnya.

"Polis berjaya menjalankan beberapa siri tangkapan terutama dalam operasi samseng jalanan dan Op Mabuk yang menjadi kegusaran masyarakat ketika ini.

"Beberapa operasi dijalankan dan seramai 351 orang ditangkap bagi Op Samseng Jalanan, 37 orang didapati positif pengaruh dadah.

"Manakala tangkapan bagi Op Mabuk serta memandu di bawah pengaruh alkohol adalah seramai 204 orang dan disiasat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut mengumumkan Polis Kontinjen Negeri Sembilan terpilih memenangi Anugerah Kontinjen Terbaik manakala Kontinjen Sarawak di tempat kedua dan Kontinjen Kedah di tempat ketiga.

Menurutnya, mereka dipilih berdasarkan pencapaian memberangsangkan dalam operasi berkenaan.

Katanya, bagi peringkat daerah, Polis Daerah Hulu Terengganu mengungguli tempat pertama diikuti Polis Daerah Bentong kedua manakala Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di tempat ketiga.

"Kelancaran Op Selamat 17/2022 ini adalah kejayaan bersama semua pihak yang terbabit secara langsung mahu pun sebaliknya.

"Tahniah dan syabas kepada semua petugas PDRM bagi Op Selamat ini termasuk elemen bantuan seperti Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta pengguna jalan raya yang berjaya mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 7:41 PM