Idris menyerahkan sijil penghargaaan kepada anggota polis pada majlis perhimpunan bulanan IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO  JUWAN RIDUAN
Idris menyerahkan sijil penghargaaan kepada anggota polis pada majlis perhimpunan bulanan IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kes pembunuhan seorang lelaki di Tawau dikaitkan dengan penahanan lapan pegawai dan anggota Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dipercayai bermotifkan cemburu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, setakat ini, polis sudah menahan lapan anggota dan pegawai polis serta tiga orang awam.

Katanya, orang awam yang ditahan adalah untuk membantu siasatan bagi mengumpulkan bahan-bahan bukti sebelum tindakan selanjutnya.

"Manakala seorang wanita iaitu orang awam sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

"Berdasarkan bukti dan keterangan yang ada selepas ini, kita akan rujuk semula kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan seterusnya," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Idris berkata, kes ini lebih kepada bersifat peribadi iaitu cemburu dan penama yang dituduh, semalam, juga adalah isteri kepada si mati.

"Kes berkenaan lebih bersifat peribadi dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes berkenaan," katanya.

Dalam kejadian 13 Januari lalu, seorang pemandu e-hailing ditemui mati di sebuah ladang sawit, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Batu 5, Tawau.

Susulan penemuan itu, polis mendedahkan penahanan beberapa individu termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 11:20 AM