LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tujuh suspek termasuk enam pegawai, anggota polis dituduh di Mahkamah Majistret Tawau, petang ini atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, Tawau, 13 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan berkaitan kes pembunuhan itu dan kertas siasatan diajukan kepada Pejabat Peguam Negara pada semalam.

"Semua tangkapan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini.

"Suspek terdiri daripada enam pegawai dan anggota polis serta seorang orang awam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis juga sudah menuduh seorang wanita yang juga isteri kepada mangsa atas kesalahan sama pada 30 Januari lalu.

"Semua suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

"Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Pada 16 Januari lalu, mayat lelaki berusia 61 tahun ditemukan di sebuah ladang sawit di Batu 5 Jalan Apas, di sini, dipercayai dibunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 1:26 PM