Tan Sri Acryl (baju hitam, topi putih) dan Hannah Yeoh (baju merah) bersama peserta ketika program hiking bersama komuniti peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur di Taman Perseketuan Bukit Kiara. FOTO Eizairi Shamsudin
Tan Sri Acryl (baju hitam, topi putih) dan Hannah Yeoh (baju merah) bersama peserta ketika program hiking bersama komuniti peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur di Taman Perseketuan Bukit Kiara. FOTO Eizairi Shamsudin
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berharap, pasukan siasatan memperoleh bukti mencukupi bagi memastikan lapan anggota polis yang ditahan berkait kes pembunuhan seorang lelaki di Tawau, Sabah dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau memaklumkan, proses siasatan kes pembunuhan pemandu e-Hailing pertengahan bulan lalu masih berjalan ketika ini selaras dengan lanjutan tempoh tahanan reman lapan pegawai dan anggota polis sehingga 8 Februari ini.

Sehubungan itu, Acryl Sani berharap segala keterangan dan bukti yang dikumpul pasukan siasatan adalah mencukupi bagi membolehkan pihak pendakwa raya membawa kes itu ke mahkamah.

"Setakat ini, polis masih jalankan siasatan terhadap mereka (lapan anggota polis yang ditahan). Beberapa perkara perlu diambil tindakan secara halus lagi.

"Reman mereka akan tamat pada 8 Februari nanti. Dengan keterangan yang diperoleh, kita harap pihak pendakwaan dapat membuat kes untuk tuduh mereka yang terbabit dalam insiden itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program 'Hiking' Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, hari ini.

Acryl Sani mengulas perkembangan siasatan pembunuhan Nurman Bakaratu, 61, selepas mayatnya ditemui dalam kawasan semak berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Batu 5, Jalan Apas, Tawau pada 16 Januari lalu.

Turut ditemui bersebelahan mayat mangsa adalah Perodua Myvi putih dengan pelekat perkhidmatan e-Hailing.

Susulan itu, lapan anggota polis terdiri daripada empat pegawai kanan dan empat pegawai rendah di Tawau direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 28 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah sebelum ini memaklumkan, kes pembunuhan itu yang membabitkan penahanan lapan pegawai dan anggota Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), dipercayai bermotifkan cemburu.

Pada 30 Januari, Nurima Juli, 33, yang dipercayai bekas isteri pemandu e-Hailing terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:51 PM