MOHD Edri (lima dari kiri) bersama pemenang Cabaran Memancing Merdeka di Kolam Tebatan Banjir, Pusat Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini. FOTO Hassan Omar.
MOHD Edri (lima dari kiri) bersama pemenang Cabaran Memancing Merdeka di Kolam Tebatan Banjir, Pusat Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


WANG tunai RM25,000 adalah anugerah sambutan Hari Kebangsaan paling bermakna dalam hidup penebang pokok, Mohd Edri Abdul Rani, 31, selepas berjaya menewaskan 1,000 peserta lain di Cabaran Memancing Merdeka, hari ini.

Mohd Edri berjaya menaikkan ikan keli Afrika seberat 7.565 kilogram (kg), sekali gus muncul johan pertandingan berkenaan di Kolam Tebatan Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Pusat Rekreasi Durian Daun, Masjid Tanah, Alor Gajah.

Menurutnya, selepas beberapa mencuba nasib tiba-tiba dia terasa mata kail direntap ikan dan hasil daripada pengalamannya menaikkan ikan bersaiz besar sebelum ini, dia menjangka akan mendapat ikan besar berbanding pernah dinaikkannya sebelum ini.

“Saya pernah menaikkan ikan keli antara 3 hingga 4kg sebelum ini, tetapi kali ini ikan menyentap mata kail terasa lebih berat.

“Apabila kepala ikan keli itu naik di permukaan kolam, saya amat gembira kerana mendapat ikan besar dan sedikit gementar kerana sudah mula membayangkan untuk muncul sebagai johan dalam cabaran memancing kali ini,” katanya.

Hadiah disampaikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Solok Air Batu, Mohd Hamidi Ramli. Hadir sama, Pengarah Urusan Pancing Bersatu Teguh Enterprise, Jais Hamidon yang menganjurkan program berkenaan.

Mohd Edri berkata, dia tidak menyangka umpan cacing digunakannya mampu menarik perhatian ikan keli Afrika bersaiz besar berbanding kebanyakan peserta lain yang menggunakan cengkerik dan katak.

“Setiap tahun saya meraikan Hari Kebangsaan dan kali ini meraikannya dengan menyertai pertandingan memancing ini.

“Kemenangan ini amat bermakna dan paling besar dalam hidup setakat ini,” katanya.

Mohd Edri yang tinggal di Kampung Padang, Pokok Mangga berkata, dia bercadang menggunakan wang itu untuk mendapatkan mesin gergaji rantai yang lebih panjang berbanding 0.9 meter digunakannya ketika ini.

Sementara itu, Haris Salleh, 63, muncul naib johan dengan membawa pulang RM7,000 selepas menaikkan ikan keli Afrika seberat 4.97kg dan tempat ketiga dimenangi Jamal Md Isa, 48, yang memperoleh RM2,000 dengan ikan keli 4.86kg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:09 PM