Irwan menunjukkan ikan patin seberat 4.6 kg sekaligus dinobatkan sebagai juara Karnival Pancing Seri Menanti 2020 di Tasik Londa Naga, Seri Menanti. FOTO AMRAN YAHYA
Irwan menunjukkan ikan patin seberat 4.6 kg sekaligus dinobatkan sebagai juara Karnival Pancing Seri Menanti 2020 di Tasik Londa Naga, Seri Menanti. FOTO AMRAN YAHYA
Oleh Amran Yahya


BERMODALKAN RM30 dan sebatang joran, seorang kaki tangan Jabatan Penjara Jelebu membawa pulang wang tunai RM3,000 di Karnival Pancing Seri Menanti 2020 di Tasik Londa Naga, Seri Menanti di sini, hari ini.

Ikan patin seberat 4.6 kilogram yang mengena umpan joran Mohd Irwan Alias, 40, itu sekali gus dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing sempena Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Menurut Mohd Irwan, dia tidak menaruh keyakinan akan menang kerana dia menyangkakan ikan yang dinaikkan itu tidak sampai tiga kilogram.

“Bagaimanapun, selepas ditimbang, pihak juri memaklumkan berat ikan patin itu 4.6 kilogram dan paling berat berjaya dinaikkan oleh 624 peserta lain,” katanya.

Katanya, dia bukan seorang kaki pancing tetapi dengan rezeki ‘terpijak’ itu, dia berhasrat untuk membeli sebatang joran yang lebih baik dan menjadikannya sebagai hobi.

Sementara itu, pemenang tempat kedua, Anuar Haris, 40, berjaya menaikkan ikan keli seberat 3.99 kilogram dan tempat ketiga, Fakhrul Ezri, 14, berjaya memancing keli seberat 3.94 kilogram dan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan RM500.

Tuanku Muhriz berkenan menyampaikan hadiah kepada semua peserta pertandingan.

 Irwan Alias (tengah) bergambar bersama pemenang tempat kedua dan ketiga Karnival Pancing Seri Menanti 2020 di Tasik Londa Naga , Seri Menanti. FOTO AMRAN YAHYA
Irwan Alias (tengah) bergambar bersama pemenang tempat kedua dan ketiga Karnival Pancing Seri Menanti 2020 di Tasik Londa Naga , Seri Menanti. FOTO AMRAN YAHYA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 2:19 PM