FARUK bersama isterinya Melur Rani, 28, sedang memancing ikan di satu alur sungai di Kampung Paloh Nyor. FOTO Nazdy Harun
FARUK bersama isterinya Melur Rani, 28, sedang memancing ikan di satu alur sungai di Kampung Paloh Nyor. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: "Hujan berterusan sejak minggu lalu membataskan saya untuk melakukan kerja hakiki mencari hasil hutan dan waktu lapang ketika musim tengkujuh membolehkan saya melakukan aktiviti memancing bersama keluarga.

"Hasil yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk dijadikan hidangan harian bagi meringankan kos perbelanjaan harian keluarga," kata Faruk Rosli, 30, yang menetap di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini.

Menurutnya, sejak 10 tahun lalu apabila tiba musim tengkujuh dia bersama isteri, Melur Rani, 28, akan menghabiskan masa memancing di kawasan alur dan anak sungai di kawasan kebun kelapa sawit di sekitar daerah ini.

Katanya, selain itu anak-anaknya turut dibawa bersama ke beberapa lokasi untuk memancing antaranya di Kampung Nobong, Paloh Nyor, Lerek dan Sungai Tong di Setiu.

Faruk berkata, jarak perjalanan dari rumahnya ke lokasi memancing melebihi 100 kilometer sehari kerana setiap kawasan yang dikunjungi jaraknya jauh antara satu sama lain.

"Hasil yang diperoleh antaranya ikan keli, baung dan haruan yang dijadikan hidangan seharian berikutan musim tengkujuh dia tidak dapat mencari hasil di hutan.

"Rutin memancing ini akan dilakukan setiap hari sepanjang musim tengkujuh dan saya akan kembali ke hutan selepas musim tengkujuh atau pada musim kemarau nanti," katanya ketika ditemui di alur sungai kebun sawit di Kampung Paloh Nyor di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap kali ke hutan dia mampu meraih pendapatan antara RM300 hingga RM500 dan ada kalanya pulang dengan tangan kosong kerana kerja mencari kayu gaharu bukannya mudah.

Katanya, joran yang diperbuat daripada pelepah pokok salak digunakan untuk memancing kerana bahan semula jadi itu mudah diperoleh di sekitar hutan dan kampungnya.

Tambahnya, memandangkan dia hanya menggunakan joran tradisional maka lokasi memancing juga tidak boleh dilakukan di kawasan sungai yang luas dan dalam.

Menurut Faruk, alur dan anak sungai sudah memadai buatnya untuk mendapatkan ikan kerana kawasan yang dituju sudah diketahui mempunyai hasil yang boleh dibawa pulang untuk dijadikan hidangan.

"Selain ditemani isteri, biasanya saya turut membawa anak-anak bersama dan aktiviti seperti ini bukan saja bermanfaat buat saya sekeluarga malah dapat mengisi masa terluang apabila tidak ke hutan.

"Musim tengkujuh merupakan limpahan rezeki bagi yang ingin berusaha kerana bagi saya hutan merupakan sumber rezeki utama namun sungai juga ada rezeki kerana pada musim seperti ini anak sungai di kawasan kebun sawit akan dipenuhi air dan memudahkan aktiviti memancing," katanya.

Isterinya, Melur berkata, memancing merupakan rutin musim tengkujuh yang akan dilakukan bersama suaminya kerana hujan berterusan tidak mengizinkan suaminya untuk ke hutan di kawasan Tasik Kenyir, untuk mencari hasil.

"Ikan sungai yang diperoleh akan menjadi hidangan kami sekeluarga dan ia dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian.

"Namun, jarak perjalanan yang perlu kami lalui agak jauh selain perlu meredah kebun sawit milik penduduk setempat untuk ke lokasi yang dituju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 5:56 PM