BUNG Moktar Radin. FOTO Bernama
BUNG Moktar Radin. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: UMNO Sabah menyifatkan kejayaan Malaysia mengetepikan perintah penahanan terhadap aset dan kepentingan strategik negara yang difailkan pihak mendakwa waris kesultanan Sulu sebagai suntikan semangat baharu kepada rakyat Sabah.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kejayaan itu turut memberi kelegaan kepada rakyat Sabah dalam usaha mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dicabuli anasir luar.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pasukan peguam yang dibentuk Jabatan Peguam Negara di atas kejayaan awal Malaysia dalam mengetepikan perintah penahanan terhadap aset dan kepentingan strategik negara yang difailkan 'waris' kesultanan Sulu di mahkamah Luxembourg bersabit tuntutan mereka berjumlah AS$14.92 billion (RM62.59)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah berpendirian tegas bahawa negeri ini adalah wilayah merdeka dan berdaulat serta memilih untuk bersama-sama Sarawak dan Persekutuan Malaya membentuk Malaysia.

"Apa jua usaha dan cubaan untuk mencabar kedaulatan negara akan ditentang habis-habisan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, kekebalan kedaulatan Malaysia diiktiraf dan dilindungi undang-undang antarabangsa.

Katanya, sebarang bentuk tuntutan dan penguatkuasaan penghakiman terhadap Malaysia adalah melanggar prinsip serta doktrin antarabangsa mengenai kekebalan sesebuah negara.

Beliau berkata, meskipun kejayaan awal Malaysia mengetepikan perintah penahanan itu bersifat 'relief interim' dan belum sepenuhnya menamatkan tuntutan 'waris' kesultanan Sulu di Luxembourg, Sepanyol dan Perancis, kejayaan awal itu diharap menjadi pencetus dan dorongan kepada mahkamah di Sepanyol dan Perancis untuk menolak tuntutan Sulu.

Berita berkaitan:

Malaysia berjaya ketepi perintah penahanan waris Sultan Sulu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 7:44 PM