GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Pengusaha gerai dan restoran didapati terpaksa menaikkan harga makanan sehingga 40 peratus susulan bekalan bahan mentah yang mahal dikenakan pembekal.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan harga makanan yang membimbangkan pengguna.

"Nampaknya dalam subkumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol) harga daging dan ayam meningkat.

"Akibatnya inflasi ayam dan daging tertinggi berbanding dengan barangan lain meningkatkan harga makanan masak di kedai makan, termasuk di gerai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aduan yang diterima daripada pengguna mendapati pengusaha gerai dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus lebih mahal.

"Pengguna merasa kenaikan terlalu tinggi sehingga menjejaskan pengunjung restoran yang menjadi pelanggan harian.

"Pengusaha makanan dan minuman memberi alasan mereka terpaksa menaikkan harga kerana harga banyak bahan mentah seperti minyak masak, gula, sayur-sayuran, ikan dan bijirin, telur serta daging yang mereka beli daripada pembekal dinaikkan.

"Walaupun harga bahan mentah naik, harga makanan masak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan," katanya.

Mohd Azmi yang juga pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata, harga makanan masak dan minuman (bukan alkohol) didapati semakin tinggi.

"Sepinggan nasi berlauk kini meningkat dan sangat dirasai oleh pengguna. Hampir semua restoran kini meningkatkan harga, malah ada yang mengenakan caj hingga 60 sen segelas ais kosong.

"Kenaikan harga makanan siap masak di kedai atau restoran sedang dirasai oleh pengguna yang bergantung kepada kedai sebagai pilihan utama setiap hari untuk makan.

"Mereka yang bekerja dan makan di luar setiap hari menghadapi kesan yang berat, terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.

Menurutnya, golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai pilihan, melainkan membeli makanan akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat.

"Menaikkan harga makanan masak secara berlebihan akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan.

"Pengguna boleh mengguna kuasa mereka untuk membeli atau tidak. Kerana itu kenaikan yang melampau perlu dikawal. Pihak berkuasa perlu memantau keadaan di pasaran.

"Walaupun tanda harga wajib dipamerkan di setiap restoran dan gerai, akan tetapi harga ditetapkan oleh peniaga dan pengusaha," katanya.

Beliau berkata, faktor bekalan dan harga bahan mentah juga harus ditangani. Selain daripada pihak kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan pengeluaran domestik, pengurangan import dari luar negara perlu diusahakan dan kebergantungankepada import perlu dikurangkan.

"Undang-undang Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 perlu dikuatkuasakan secara berkesan. Namun kuasa pengguna juga perlu diguna jika ada pengusaha yang meraih keuntungan keterlaluan.

"Pengguna disaran mengurangkan tabiat makan di luar juga harus dilakukan sebagai langkah penjimatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 9:26 PM