GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kadar harga makanan dan minuman yang dijual di gerai dan restoran terpaksa dinaikkan sehingga 10 hingga 40 peratus didakwa susulan kenaikan harga barang mentah ketika ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan harga makanan yang membimbangkan pengguna.

Menurutnya, mereka yang bekerja dan makan di luar setiap hari terkesan dengan kenaikan harga itu terutama golongan berpendapatan rendah.

"Nampaknya dalam subkumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol) harga daging dan ayam meningkat.

"Akibatnya inflasi ayam dan daging tertinggi berbanding dengan barangan lain telah meningkatkan harga makanan masak di kedai makan termasuk di gerai.

"Hampir semua restoran kini meningkatkan harga, malah ada yang caj hingga 60 sen segelas ais kosong.

"Aduan diterima daripada pengguna mendapati pengusaha gerai dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus. Pengguna berasa kenaikan terlalu tinggi hingga menjejaskan pengunjung restoran yang menjadi pelanggan harian," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Azmi berkata, pengusaha makanan dan minuman memberi alasan terpaksa menaikkan harga kerana harga bahan mentah seperti minyak masak, gula, sayuran, ikan, bijirin , telur dan daging daripada pembekal sudah dinaikkan.

Bagaimanapun katanya, walaupun harga bahan mentah naik, pihaknya berpandangan harga makanan masak dan minuman tidak seharusnya dinaikkan tanpa kawalan.

"Golongan berpendapatan rendah yang tidak punya pilihan melainkan membeli makanan (di luar) akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat. Menaikkan harga makanan masak secara berlebihan akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan.

"Pengguna boleh mengguna kuasa mereka untuk membeli atau tidak. Kerana itu kenaikan yang melampau perlu dikawal dan pihak berkuasa perlu memantau keadaan di pasaran.

"Walaupun tanda harga wajib dipamerkan di setiap restoran dan gerai tetapi harga ditetapkan oleh peniaga dan pengusaha," katanya.

Katanya, selain faktor bekalan dan harga bahan mentah juga perlu ditangani serta pihak kerajaan juga perlu mengambil langkah meningkatkan pengeluaran domestik, pengurangan import dari luar negara perlu diusahakan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Beliau berkata, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 perlu dikuatkuasakan secara berkesan selain kuasa pengguna juga perlu digunakan jika ada pengusaha yang masih meraih keuntungan keterlaluan.

Mohd Azmi yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata, pengguna diminta melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui EzyADU jika ada restoran atau kedai makan menaikkan harga secara melampau.

"Kuasa dan suara pengguna perlu diaktifkan jika berlaku salah laku peniaga dan pengguna bertindak untuk tidak dieksploitasikan.

"Pihak persatuan restoran perlu berusaha membantu mengurangkan harga makanan masak ketahap munasabah. Mereka harus mengambil kira nasib golongan berpendapatan rendah untuk menghadapi tekanan kos sara hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 12:22 PM