GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menggesa kerajaan membuat keputusan 'flip-flop' dengan meluluskan tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar bagi membantu rakyat terkesan.

Timbalan Presiden PGIRM Mohammad Farhan Jailani berkata, pengeluaran bersasar itu akan memberi sinar kepada golongan terjejas untuk bangkit dan menyelesaikan masalah hutang serta beban kewangan mereka.

"Sudah lebih setahun pandemik Covid-19 berlalu dan kerajaan berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi sudah pulih dan rakyat sudah bangkit.

"Tapi adakah kerajaan sedar masih terdapat golongan rakyat khususnya pencarum masih tercicir dan belum berjaya bangkit kesan daripada pandemik itu.

"Adakah kerajaan menutup mata dan telinga atas kesusahan golongan ini yang masih gagal bangkit kerana masalah hutang tertunggak akibat hilang pendapatan, masih tidak mendapat pekerjaan stabil kerana faktor usia dan kesihatan selain berdepan masalah sosio ekonomi serta keluarga yang meruncing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan akan mengambil keputusan untuk 'flip-flop' sekiranya ia bagi tujuan membantu rakyat.

Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, jika beliau tidak membuat keputusan 'flip-flop', rakyat akan terbeban dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh pentadbiran kerajaan sebelumnya.

Mengulas lanjut, Mohammad Farhan berkata, kaji selidik PGIRM setakat Mei lalu mendapati 99,335 pencarum masih berdepan masalah terbabit.

Katanya, penyelesaian kerajaan dengan menawarkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) tidak menyelesaikan masalah secara keseluruhan, malah menambah beban kewangan sedia ada.

Justeru, beliau berkata, sekiranya Anwar benar-benar ingin membantu rakyat khususnya golongan tercicir perlu segera membuat keputusan 'flip flop' dengan meluluskan tuntutan pengeluaran KWSP secara bersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 8:07 PM