SAIFUDDIN (tiga kanan) ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar di Putrajaya.  FOTO NSTP.
SAIFUDDIN (tiga kanan) ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar di Putrajaya. FOTO NSTP.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Hubungan kondusif antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) dilihat penting terutama dalam operasi kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia berikutan KDN adalah sebuah kementerian yang besar dan rakyat meletakkan harapan tinggi terhadapnya.

Dengan pelbagai agensi yang rapat dengan rakyat bernaung di bawahnya, Saifuddin berkata, rakyat kini cuma menunggu aspek penyampai KDN ketika suasana politik negara relatifnya stabil.

Saifuddin menerima kunjungan hormat kepemimpinan Media Prima, diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, di pejabatnya.

"Jadi sebenarnya tidak lengkap kalau lawatan ini tidak saya simpulkan, bahawa saya memandang, memberikan perhatian yang berat dan serius kepada aspek sumbangan dan penglibatan Kumpulan Media Prima ini.

"Saya akan tanpa lengah lagi mengatur beberapa program dan rancangan dalam masa terdekat ini terutama dalam mengetengahkan peranan agensi dan jabatan penting bawah Kementerian dengan dokongan Kumpulan Media Prima," katanya kepada pemberita selepas kunjungan berkenaan.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan, BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar, dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan, Azlan Abdul Aziz.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, beliau berbangga menerima kunjungan kepemimpinan Media Prima itu yang julung kali sejak memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Menyifatkan kunjungan Syed Hussian dan Ahmad Zaini sebagai cukup istimewa, beliau mengakui mempunyai hubungan peribadi yang akrab dengan kedua-dua tokoh dalam industri media itu, sejak sekian lama.

Beliau berkata, banyak yang turut dipelajari daripada kedua-dua tokoh berkenaan dan menghargai kerjasama erat yang terjalin.

Katanya, melalui kunjungan itu, kedua-dua pihak berbincang mengenai banyak perkara.

"Pertama saya mengambil peluang untuk memperkenalkan mengenai KDN bawah kepimpinan saya dan rancangan masa depan terutama yang bersangkut dengan isu yang ada kepentingan dekat dengan hati rakyat seperti isu yang membabitkan Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pasukan polis dan seumpamanya.

"Saya juga mendapat pandangan balas khususnya daripada Datuk Syed, Datuk Zaini bahawa Media Prima khususnya melahirkan hasrat untuk serta merta menjalinkan hubungan kerja bagi membantu Kementerian terutamanya untuk menyampaikan mesej-mesej yang berkait dengan aspek terkesan dengan rakyat," katanya.

Saifuddin turut menyatakan penghargaan kepada kepemimpinan Media Prima yang mengundang kehadirannya ke Sri Pentas untuk mendengar taklimat operasi keseluruhan operasi kumpulan itu, berikutan pengaruh kuat Media Prima dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Syed Hussian berkata, kedua-dua pihak akan mempertingkatkan lagi kerjasama termasuk dengan agensi bawah KDN.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan kira-kira sejam itu.

"Syukur alhamdulillah pada petang ini kita dapat bertemu dengan Menteri Dalam Negeri dan dalam perbincangan tadi, kerjasama yang sedia ada antara Media Prima dan KDN insya-Allah akan dipertingkatkan lagi dan juga agensi-agensi bawah KDN.

"Umpamanya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita ada rancangan 999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 5:50 PM