Datuk Ewon Benedick meninjau jualan yang terdapat di Tamu Sangadau semasa membuat promosi sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2023 di Donggongon, baru-baru ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Datuk Ewon Benedick meninjau jualan yang terdapat di Tamu Sangadau semasa membuat promosi sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2023 di Donggongon, baru-baru ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkolaborasi bersama Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kementerian itu kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kisah kejayaan usahawan yang dibimbing agensi di bawah Kuskop perlu dipaparkan di platform media.

"Justeru kita mempertingkat kerjasama dengan Media Prima bagi memberi kesedaran pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Saya berharap kerjasama yang strategik ini dapat kita laksanakan dengan lebih baik lagi," katanya selepas mengadakan kunjungan rasmi di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Terdahulu Ewon diiringi oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

Ewon berkata, sebanyak 10 agensi di bawah kementerian itu memainkan peranan kepada pihak berkepentingan.

"Apa yang saya ingin lihat adalah kisah kejayaan usahawan ini yang dibantu agensi di bawah Kuskop melalui program dan inisiatif belanjawan kementerian dapat dikongsikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 4:07 PM