ANWAR (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Jemaah Menteri. FOTO Bernama
ANWAR (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Jemaah Menteri. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Program Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan hari ini antara lain bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan di Kompleks Seri Perdana di sini.

"Program dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

"Selaras dengan hasrat Perdana Menteri dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, program permukiman ini diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tatakelola atau tadbir urus jentera kerajaan.

"Aspek ini merangkumi Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan. Persidangan Antarabangsa dan Kepentingan Negara, Protokol Kerajaan dan Profesionalisme, Pembangunan Lestari, Senario Ekonomi dan Cabaran, serta taklimat berkaitan Komunikasi Media," katanya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut menyampaikan taklimat Pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri semasa sesi permukiman itu.

Difahamkan sesi permukiman terbabit bermula jam 8.30 pagi tadi dan dijangka berakhir 4.30 petang.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan permukiman terbabit bagi membincangkan hala tuju Kerajaan Perpaduan.

"Selain berbincang mengenai hala tuju, keberadaan kami juga berkait rapat dengan penetapan KPI untuk setiap kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 4:34 PM