Tan Sri Abang Johari Abang Openg menunggang basikal buluh pada program Hari Tanpa Kereta di Kuching hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Tan Sri Abang Johari Abang Openg menunggang basikal buluh pada program Hari Tanpa Kereta di Kuching hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menarik perhatian apabila menyertai program Hari Tanpa Kereta, hari ini dengan menaiki basikal buluh.

Beliau menunggang basikal mesra alam itu kira-kira satu kilometer dari Padang Merdeka menuju kawasan Muzium Budaya Borneo dan berpatah balik ke Padang Merdeka.

Basikal buluh antara produk baharu Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), untuk dikomersilkan.

Bagi mencapai matlamat itu, Pusaka menjalin kerjasama strategik dengan sebuah syarikat dari Shanghai, China iaitu Brooke and Breeze untuk melahirkan tenaga mahir dalam penghasilan basikal mesra alam itu.

Pusaka kini memberi tumpuan untuk mengeluarkan lebih banyak basikal buluh dengan sasaran tidak kurang 15 basikal dihasilkan setahun di bengkel di Kota Samarahan.

Basikal buluh berpotensi besar untuk pasaran global dan harganya pula boleh mencecah antara AS$1,000 hingga AS$3,000 (RM4,490 hingga RM13,470).

Mengenai program Hari Tanpa Kereta anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu, Abang Johari berkata, program itu bukan sahaja bagi menggalakkan orang ramai bersenam malah menjadi aktiviti keluarga apabila ramai peserta membawa bersama anak-anak.

"Sebelum ini program ini diadakan sebulan sekali tetapi selepas melihat kepada sambutan yang amat baik, kini kita mengadakannya dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan minggu ketiga.

"Program seperti ini amat baik sesuai untuk membawa keluarga bersenam sambil beriadah," katanya selepas melancarkan program itu di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Lebih 2,000 warga bandar raya menyertai program berkenaan dengan berbasikal, berjalan, berkasut roda selain ada yang menaiki papan selaju.

Bagi memeriahkan lagi program, beberapa acara sampingan antaranya senamrobik dan sukan rakyat turut diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 11:57 AM