Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Jabatan Mufti Negeri Melaka (JMM) mendedahkan 28 daripada 55 masjid warisan khususnya berusia lebih 100 tahun di negeri ini dikesan tersasar antara tiga hingga 18 darjah daripada arah kiblat sebenar.

Mufti negeri Datuk Abdul Halim Tawil berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan berperingkat dilakukan pihaknya sejak empat tahun lalu menerusi kerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) negeri.

Menurutnya, arah kiblat semua masjid itu bagaimanapun sudah diperbetulkan seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka ketika pemeriksaan dibuat.

"Kita dapati hampir 50 peratus daripada masjid yang kita semak arah kiblat melebihi tiga darjah dan ada yang sampai 18 darjah tersasar dari arah kiblat sebenar.

"Jadi kita beri penjelasan kepada masyarakat dan kemudian betulkan arah kiblat sedia ada dengan cara paling cepat kerana benda itu kita nampak jelas dah tersasar.

"Bukan bererti orang dulu salah, tetapi pada ketika itu mungkin tiada badan yang mengawal dan tiada teknologi canggih seperti kompas dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat dan Penarafan Bintang Stesen Minyak Petronas Negeri Melaka di Semabok, hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengurus Besar Bahagian Runcit-Bahan Api Petronas Dagangan Berhad, Norazlan Subaha.

Abdul Halim berkata, antara 28 masjid yang sudah diperbetulkan arah kiblatnya adalah Masjid Al Abrar Semabok, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling, Masjid Kampung Duyong dan Masjid Serkam.

"Kemungkinan penentuan arah kiblat dibuat secara tradisional berdasarkan cerapan matahari atau penentuan bayang (menyebabkan arah kiblat sebelum ini tersasar).

"Jadi inilah usaha kita untuk betulkan keadaan itu. Jawatankuasa Fatwa memutuskan mana-mana arah kiblat jika kadar terpesong di bawah tiga darjah adalah dimaafkan dengan alasan ia masih menghala ke Baitullah.

"Tetapi jika ia tersasar lebih daripada tiga darjah itu...kemungkinan menghala ke Afrika Utara dan sebagainya, ia perlu dibetulkan," katanya.

Sementara itu, Norazlan berkata, biarpun arah kiblat surau di semua stesen minyak Petronas sudah ditentusahkan ketika pembinaan premis, pihaknya mengambil inisiatif untuk mendapatkan pensijilan bagi meningkatkan tahap keyakinan pelanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 9:12 PM
ARAh kiblat Masjid Al Abrar, Semabok sudah dibetulkan mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Masjid ini antara 28 daripada 55 masjid warisan yang dikesan tersasar arah kiblat. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ARAh kiblat Masjid Al Abrar, Semabok sudah dibetulkan mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka. Masjid ini antara 28 daripada 55 masjid warisan yang dikesan tersasar arah kiblat. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.