Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) melakukan pengukuran semula arah kiblat di premis awam membabitkan semua masjid dan surau di Negeri Sembilan.

Pemangku Mufti Negeri Sembilan Amran Awaluddin berkata, kakitangan bahagian falak jabatan itu akan turun padang di semua premis terbabit bagi memastikan semua institusi ibadat berkenaan mempunyai arah kiblat yang tepat seperti disyariatkan.

"Usaha ini sudah lama dilaksanakan secara berperingkat dan hasil daripada langkah turun padang yang kita lakukan sebelum ini sememangnya terdapat sebahagian institusi masjid dan surau terutama yang dibina lama, arah kiblatnya kurang tepat.

"Kita mengambil langkah dengan membuat pengukuran semula bagi memastikan semua masjid dan surau mempunyai arah kiblat yang betul.

"Setakat ini usaha itu masih berterusan dilakukan secara berperingkat kerana ia perlu dibuat secara teliti," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan bahawa terdapat kira-kira 40 peratus daripada 5,000 kediaman umat Islam yang diperiksa sekitar Lembah Klang, tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.

Ia dikenal pasti berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat bersolat sekali gus menyaksikan ada antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman itu tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar.

Amran tidak menafikan terdapat pelbagai situasi yang mengejutkan ditemui sepanjang pemeriksaan dan menentusahkan arah kiblat yang dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, situasi itu berlaku kebanyakannya masjid dan surau lama yang dulunya tidak menggunakan peralatan terkini selain hanya menggunakan kepakaran sendiri dalam menentukan kedudukan arah kiblat.

Menurutnya, hakikatnya kompas dan aplikasi kiblat dalam talian tidak boleh dijadikan panduan utama untuk menetapkan arah kiblat yang sebenar dan tepat.

Katanya, ketika ini terdapat 301 masjid di Negeri Sembilan dan hampir semua pusat ibadat itu mempunyai ketepatan arah kiblat termasuk masjid yang baru dibina.

"Bagi umat Islam di Negeri Sembilan, mereka boleh mendapatkan khidmat bagi penentuan arah kiblat di rumah masing-masing melalui Persatuan Jurufalak Syarie Negeri Sembilan yang mengenakan caj RM70 bagi setiap perkhidmatan dilakukan.

"Selain itu, masyarakat Islam juga boleh melakukan semakan arah kiblat yang tepat di tempat kediaman masing-masing melalui fenomena Istiwa' A'dzam yang berlaku setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 1:58 PM