GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham

MENGHADAP kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat. Ia juga berkait rapat dengan beberapa tuntutan wajib dan sunat dalam Islam seperti pengebumian jenazah, penyembelihan, berdoa dan sebagainya.

Menurut Profesor Madya Baharrudin Zainal, kiblat bermaksud arah ke Kaabah mengikut jarak terdekat bulatan besar glob bumi.

Di Malaysia, arah kiblat ditentukan menerusi panduan azimuth pada sudut antara 291 hingga 293 darjah, berdasarkan lokasi.

Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan arah kiblat, ia diletakkan di bawah bidang kuasa Bahagian Falak di setiap Jabatan Mufti Negeri masing-masing.

Sijil arah kiblat juga hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Mufti. Daripada sudut sejarah, kiblat pertama umat Islam ialah al-Masjid al-Aqsa.

Selepas 16 bulan Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, arah kiblat bertukar ke arah Kaabah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya...” (Surah al-Baqarah, ayat 150)

Peristiwa penukaran kiblat daripada al-Masjid al-Aqsa ke Kaabah turut diceritakan dalam hadis diriwayatkan oleh al-Bara’: “Sesungguhnya Rasulullah SAW solat menghadap ke Baitulmaqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Baginda lebih suka sekiranya menghadap ke arah Kaabah. Kemudian Baginda pun solat Asar bersama dengan sahabat. Setelah itu salah seorang sahabat tersebut keluar dan melalui kaum Muslimin di sebuah masjid
yang pada waktu itu mereka sedang rukuk. Sahabat tadi berkata, Aku bersaksi kepada Allah bahawa aku telah solat bersama Nabi SAW dengan menghadap ke arah Makkah. Mereka segera berpusing dalam keadaan solat menghadap ke arah kiblat yang baru.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pada waktu itu, arah kiblat ke Kaabah ditentukan berdasarkan wahyu. Ulama membahaskan, sahabat yang sedang solat Asar di belakang Nabi hanya mengikut sahaja perbuatan Baginda bertukar arah dan berpusing dalam masjid yang kini dikenali Masjid Qiblatain.

Arah kiblat di Madinah pula ditentukan dengan pedoman wahyu. Cabaran mula timbul dalam isu arah kiblat apabila umat Islam mula berkembang di luar sempadan Makkah dan Madinah.

Ada beberapa keadaan di mana Nabi masih lagi memberikan panduan wahyu terhadap sahabat yang keluar dari Madinah untuk misi dakwah.

Itu adalah kiblat berasaskan wahyu langsung yang tidak perlu didebatkan. Contohnya, ketika Baginda menghantar Muaz bin Jabal dan beberapa sahabat ke Yaman, Baginda bersabda: “Sekiranya kamu membina Masjid di San’a, maka binalah ia menghadap belah kanan satu bukit yang dikenali sebagai Din.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Dalam banyak keadaan, Nabi Muhammad SAW hanya memberikan panduan umum. Ketika zaman Nabi, arah kiblat hanya berlegar ke arah utara atau selatan sahaja.

Masalah baru dalam carian kiblat mula timbul apabila umat Islam mula berkembang ke timur dan barat Makkah.

Tiada sebarang riwayat sahih menyatakan Nabi dan sahabat mempunyai kemampuan membuat hitungan arah kiblat.

Peta dunia pertama pun hanya berjaya dilakar oleh al-Idrisi sekitar 1154 Masihi, lima kurun selepas hijrah.

Setelah hampir lima kurun kewafatan Nabi, ada yang tersasar ke arah selatan semata-mata kerana mematuhi mafhum tekstual hadis.

Ada pula menghadap ke arah barat kerana memahami Makkah terletak di arah barat. Akhirnya, al-Bazdawi berjaya dengan bantuan ilmu falak yang dikaji ahli astronomi Muslim pada zamannya untuk mendapatkan arah kiblat yang hampir tepat dengan kiraan moden.

Pada zaman moden, ilmu falak sudah berkembang sehingga kita boleh menghitung arah kiblat dengan kaedah sfera trigonometri.

Kaedah itu diyakini tepat. Peralatan digunakan bukannya semata-mata kompas kerana ia tertakluk kepada ralat tarikan magnetik baik di dalam atau di luar bangunan.

Bagaimanapun, peralatan digunakan adalah berdasarkan panduan matahari dengan ketepatan yang tinggi.

Tidak dinafikan, masih terdapat masjid, surau dan tanah perkuburan lari arah kiblatnya terutamanya yang sudah lama dibina.

Beberapa faktor menyebabkan ia berlaku antaranya, carian mengikut arah matahari terbenam tanpa memahami konsep falak sebenar serta kegagalan kontraktor mengikut kayu pancang panduan arah kiblat sebenar.

Sekiranya terdapat dakwaan arah kiblat di mana-mana masjid tersasar, sepatutnya pihak yang mendakwa perlu menghubungi Bahagian Falak Jabatan Mufti di negeri masing-masing untuk mendapatkan kepastian.

Tindakan membuat kenyataan terbuka mendakwa banyak masjid yang lari arah kiblat boleh menimbulkan keresahan umat Islam kerana ia membabitkan syarat sah solat.

Pegawai falak sentiasa komited melayan sebarang permintaan untuk membantu masyarakat dalam hal ini.

Penulis pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang dan Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:59 AM