CUCU bekas ulama menunjukkan lukisan mengenai bacaan kiraan untuk menentukan arah kiblat mengikut hisah ketika ditemui di Jalan Bunga Raya, Kampung Sijangkang. FOTO Azhar Ramli
CUCU bekas ulama menunjukkan lukisan mengenai bacaan kiraan untuk menentukan arah kiblat mengikut hisah ketika ditemui di Jalan Bunga Raya, Kampung Sijangkang. FOTO Azhar Ramli
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


“KEBANYAKAN kiblat masjid di Malaysia tidak tepat. Cuma Masjid Diraja Sultan Suleiman dan masjid di Johor dan Perak yang tepat,” demikian dakwa seorang cucu ulama terkenal, Kiai Muhammad Ali Qaribun.

Warga emas itu yang enggan namanya didedahkan mendakwa, kebanyakan kiblat masjid di Malaysia terpesong dari Kaabah selepas beliau berpeluang membuat semakan secara peribadi.

“Sudah banyak tempat saya pergi biasanya sebelum singgah solat di mana-mana masjid saya akan semak kedudukan kiblatnya.

“Apa yang mengejutkan kebanyakan masjid yang pernah saya singgah tidak tepat arah kiblatnya,” katanya.

Katanya, beliau memperoleh ilmu menentukan arah kiblat berpandukan kaedah garis matahari itu daripada datuknya yang memiliki kemahiran ilmu hisab dan falak terutama berkaitan penentuan waktu solat, arah kiblat, tarikh puasa dan hari raya.

“Sejak kecil saya dipelihara datuk (Kiai Ali) dan Allahyarham sempat menurunkan ilmu falaknya kepada saya.

“Ketika hayatnya, datuk begitu dihormati dan dikagumi, ketinggian ilmu agama dan kemahiran ilmu falaknya membuatkan datuk diberi penghormatan untuk menurunkan ilmu menentukan kiblat kepada Sultan Ala’eddin Suleiman Shah.

“Malah, datuk antara orang penting yang menentukan kiblat Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang pada awal pembinaannya yang tidak pernah diubah kiblatnya sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, sejarah kiblat solat umat Islam bermula dengan peristiwa Allah menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW yang ketika itu solat di Masjid Qiblatain supaya berpaling 180 darjah dari Baitulmaqdis ke Masjidilharam.

“Semasa penghijrahan ke Madinah, Rasulullah berhenti menunaikan solat Asar di Masjid Qiblatain (ketika itu kiblat menghadap Baitulmaqdis).

“Ketika itulah wahyu Allah SWT turun memerintahkan baginda menghadap arah kiblat baru lalu Jibril memusingkan posisi Baginda 180 darjah menghadap Masjidilharam sepertimana arah kiblat solat Nabi Adam dan Rasul terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, rentetan peristiwa bersejarah pemindahan kiblat umat Islam itu, Rasulullah diajar Malaikat Jibril cara menentukan kiblat.

“Dalam sebuah kitab menyebut Jibril mengajar Rasulullah ilmu mendapatkan garis matahari seluruh dunia bagi menentukan arah kiblat melalui Istiwa’ A’dzham.

“Kedudukan kiblat diukur berdasarkan garis matahari dunia iaitu garis lintang matahari ke kanan dari Selatan ke Utara Makkah mesti 21 darjah. Inilah yang Allah perintahkan Jibril ajar Rasulullah.

“Garis matahari diukur apabila matahari tegak, kita letak tiang dia akan menjadi bayang, kena ukur kiri dan kanan kalau sama bayangnya itu dengan tiang itu, maka garis itu boleh dipakai sebagai menentukan arah kiblat.

“Saya beri contoh, berpandukan garis Istiwa’ kedudukan Malaysia ke Makkah adalah 75 darjah (beza lima jam) bersamaan 1 jam 15 darjah 1 darjah 4 minit,” katanya.

Katanya, pesongan arah kiblat kebanyakan masjid dan surau di negara ini digambarkan sejauh 600 batu bersamaan 966 kilometer tersasar dari Makkah.

“Kalau sejauh itu, apa hendak jadi kiblat sebenarnya menghadap ke Karbala bukan Kaabah.

“Ini paling saya takut. Saya sudah ajukan perkara ini kepada banyak pihak berkaitan, namun tiada tindakan perubahan dilakukan hingga kini.

“Saya tiada kepentingan peribadi tetapi demi agama, terpulang kepada mereka. Yang pasti saya sudah laksanakan tanggungjawab saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:30 AM