JEMAAH menunaikan solat di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dengan arah kiblat yang betul. FOTO HASSAN OMAR
JEMAAH menunaikan solat di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dengan arah kiblat yang betul. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Jabatan Mufti Melaka hari ini memuat naik borang di Facebook rasminya untuk umat Islam yang berminat mendapatkan perkhidmatan menentukan arah kiblat secara tepat sama ada di premis kediaman atau pejabat.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkhidmatan itu diberikan selepas pegawai jabatan itu menerima pertanyaan daripada anggota komuniti mengenai kaedah untuk menentukan arah kiblat secara tepat.

Menurutnya, umat Islam yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu dikenakan caj RM100 yang boleh dibayar kepada Majlis Agama Islam Melaka.

"Kajian Jabatan Mufti tahun lalu mendapati hampir 50 peratus masjid di Melaka yang kita semak sedikit tersasar arah kiblat melebihi kadar tiga darjah yang diharuskan.

"Masih belum terlewat untuk kita ambil peluang ini kerana kesempurnaan dalam ibadah adalah dengan kita menzahirkan nikmat yang Allah berikan kepada kita," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah, dekat sini, Datuk Abdul Mutalif Che Mat berkata, pihak pengurusan masjid berkenaan sudah membetulkan arah kiblat selepas pegawai Jabatan Mufti Melaka membuat pembetulan arah kiblat tahun lalu.

"Alhamdulillah, kerja membetulkan arah kiblat dilakukan dengan memasang permaidani baharu yang tepat ke arah kiblat yang ditentukan oleh pegawai Jabatan Mufti," katanya.

Beliau berkata, bangunan tambahan masjid yang siap awal tahun ini juga menghadap arah kiblat yang ditentukan pegawai terbabit.

Keterangan gambar

Foto 1: Umat Islam di Melaka menunaikan solat dengan mengikuti arah kiblat tepat yang ditentukan Jabatan Mufti Melaka.

Pix 2 dan 3: Abdul Halim Tawil.

-tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 5:27 PM