Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan berhubung soal agihan kerusi dan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.

Timbalan Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai, menyifatkan perkara itu penting agar parti-parti terbabit boleh memulakan gerak kerja awal dalam melakukan persediaan yang diperlukan.

"Persediaan ini adalah penting bukan saja kepada calon PN tetapi membabitkan strategi yang akan diatur sama ada bagi menghadapi pertembungan dua, tiga atau empat penjuru kita belum tahu lagi.

"Siapa akan mewakili PN bertanding di Dun itu tidak penting tetapi kita hendak menang dan siapa yang boleh meletakkan calon yang boleh menang.

"Ia faktor lebih penting dipertimbangkan berbanding (persoalan) berapa kerusi Gerakan bertanding, berapa kerusi Bersatu dan berapa kerusi Pas bertanding," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Dominic berkata beberapa sesi mesyuarat diadakan sebelum ini dan beliau melihat PRN berkemungkinan akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Bagaimanapun ia terpulang kepada kuasa kerajaan negeri jika kita merujuk tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan terakhir (Dun terbubar) ialah pada Mei," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata gabungan akan akan bertanding di semua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Beliau memaklumkan Pengerusi PN di setiap enam negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengetuai perbincangan pelaksanaan persiapan PRN di negeri masing-masing.

Ketika ditanya bila rundingan kerusi dijangka selesai, beliau berkata, berdasarkan pengalaman PRU-15 serta PRN Melaka dan Johor, rundingan boleh berlanjutan sehingga sebelum hari penamaan calon.

"Sehingga itu kita akan menyaksikan banyak perubahan berlaku kerana itu persediaan awal penetapan tugasan perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 2:37 PM
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai memberi kenyataan media mengenai isu Draf Rancangan Tempatan 2030 Pulau Pinang pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Jalan Macalister di sini. FOTO MIKAIL ONG
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai memberi kenyataan media mengenai isu Draf Rancangan Tempatan 2030 Pulau Pinang pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Jalan Macalister di sini. FOTO MIKAIL ONG