BAUNG ekor merah dipasarkan apabila mencapai usia 10 hingga 15 bulan.
BAUNG ekor merah dipasarkan apabila mencapai usia 10 hingga 15 bulan.
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Permintaan menggalakkan selain harga tinggi mendorong ramai penternak di daerah ini menternak ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus Wyckioides secara komersial dalam sangkar di Sungai Pahang, di sini.

Spesies dikategorikan sebagai ikan pemangsa dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam, kini mula menjadi pilihan penggemar ikan air tawar itu.

Penternak Khairul Ibrahim, 34, berkata ikan baung ekor merah kini mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk tempatan dan luar kerana rasanya dikatakan hampir sama dengan ikan baung liar Sungai Pahang.

Katanya, dia menternak ikan itu lebih 15 tahun lalu selepas mendapati sambutan pengguna menggalakkan dan dijual dengan harga antara RM15 hingga RM20 sekilogram (kg).

Katanya, permintaan terhadap ikan itu bertambah dua hingga empat kali ganda setiap kali menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

“Isinya yang pejal dijadikan hidangan keluarga. Saya kini mempunyai lebih 6,000 ikan baung ekor merah yang diternak dalam empat sangkar di Kampung Pulau Keladi, setiap minggu sehingga 500kg ikan dipasarkan kepada pemborong tempatan dan Kuala Lumpur.

“Ikan ini dipasarkan apabila mencapai usia 10 hingga 15 bulan dengan berat lebih sekilogram, menternak ikan ini mudah dan tidak cerewet kerana hanya perlu memberi makan sekali hingga dua kali seminggu bagi ikan dewasa” katanya.

Khairul yang turut menternak ikan patin emas, jelawat, kerai dan baung tempatan berkata, dia mendapat bekalan benih ikan daripada pembekal di Kuala Lumpur dengan harga antara 60 sen hingga RM1 seekor mengikut saiz dan usia.

KHAIRUL  (kanan) meninjau  ikan baung ekor merah yang diternaknya.
KHAIRUL (kanan) meninjau ikan baung ekor merah yang diternaknya.

Katanya, sebelum ini Jabatan Perikanan Pahang mengingatkan penternak ikan di daerah ini supaya memastikan ikan baung ekor merah tidak terlepas ke dalam sungai.

“Saya difahamkan, ia antara 32 spesies ikan yang dilarang dilepaskan ke dalam perairan umum negara ini kerana ia dikategorikan sebagai ikan pemangsa.

“Saya dan penternak lain sentiasa mematuhi nasihat pegawai jabatan perikanan yang mengingatkan supaya ikan ini tidak terlepas ke dalam Sungai Pahang bagi mengelak berlaku pembiakan secara berleluasa.

“Panduan dan tunjuk ajar diberikan sentiasa diikuti bagi memastikan industri perikanan air tawar di daerah ini tidak terjejas sehingga merugikan kami sebagai penternak,” katanya turut menternak ikan patin jenis Chao Phraya yang tidak boleh berada di perairan umum.

Beberapa penternak daerah ini yang ditemui mendakwa, mereka sudah lama menternak ikan itu untuk memenuhi permintaan pemborong di beberapa negeri.

Selain ikan baung ekor merah, beberapa spesies lain yang dilarang dilepaskan ke perairan umum turut diternak secara komersial.

Tinjauan mendapati penternak menggunakan jaring untuk menutup keseluruhan sangkar bagi memastikan ikan itu tidak terlepas ke dalam Sungai Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:40 AM