ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Mlaysia Kedah yang akan menyertai Pertandingan IMIREX 2016 melakukan persiapan. FOTO Rahmat Othman
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Mlaysia Kedah yang akan menyertai Pertandingan IMIREX 2016 melakukan persiapan. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sepuluh pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan menyertai Pertandingan Latihan Kemalangan Berat Peringkat Antarabangsa (International Major Incident Exercise (IMIREX) 2016 di Taman Mini Malaysia, Ayer Keroh, Melaka, bermula esok.

Pertandingan yang pertama kali disertai JBPM Kedah itu turut disertai pasukan penyelamat lain dari beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura untuk menguji tahap kecergasan dan kecekapan peserta dalam menjalankan tugas penyelamat dan perawatan.

Ketua jurulatih Pasukan JBPM Kedah, Penolong Penguasa Bomba Shuib Idris berkata, kesemua peserta yang terpilih adalah antara anggota dan pegawai yang lulus dalam ujian Kursus Ujian Tahap Kecergasan Individu (IPPT) dan mampu melakukan aktiviti lasak.

Beliau berkata, peserta yang dipilih juga adalah dalam kalangan anggota Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Multi-Skill Team (MUST).

"Kita melakukan latihan selama seminggu di sekitar kawasan Gunung Keriang termasuk di Pusat Akuatik, Bukit Malau di Jitra, Hutan Pedu dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini ." katanya ketika ditemui di BBP Alor Setar, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 8:03 PM