Kamarulzaman Pid
Kamarulzaman Pid
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sungai Buloh: Bekas Eksekutif Copy Editor Harian Metro, Kamarulzaman Pid, 50, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 6.15 pagi tadi selepas menderita penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang.

Anak Allahyarham, Sufiyah Rahainy, 22, berkata arwah bapanya mula mengadu sakit selepas pulang dari Melaka atas urusan kerja pada 17 November lalu.

"Ketika berada di Melaka, ayah menghubungi saya untuk mengambilnya di sana kerana mengadu tidak larat untuk memandu kenderaan pulang ke rumah di Rawang.

"Saya ada memintanya untuk ke hospital, namun ayah menolak dan ingin berehat di rumah terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, arwah kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 18 November dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 November lalu.

"Selain buah pinggang, arwah turut menghidap beberapa penyakit lain antaranya jantung dan darah tinggi.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah dan jenazah arwah akan dikebumikan di Muar, petang ini," katanya.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan di Berita Harian pada 1996 meninggalkan enam anak berusia 10 hingga 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 2:21 PM