Nurul Fatihah Sulaini

Besut: "Dua malam saya terpaksa 'tidur-tidur ayam' selepas rumah dinaiki air hampir satu meter," kata Siti Rozilah Abd Kadir, 42, dari Kampung Kubang Depu, Jertih, di sini.

Katanya, walaupun kediamannya pernah beberapa kali dilanda banjir namun situasi kali ini antara kejadian paling besar pernah dialaminya.

"Pada awalnya saya dan suami mahu bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat namun kami terlambat untuk berpindah dan PPS sudah penuh.

"Arus deras turut menyukarkan pasukan penyelamat untuk masuk ke kawasan kampung ini yang terletak di kawasan sawah padi bagi memindahkan mangsa banjir ke PPS di kawasan lain.

"Selain itu, kami juga berat hati untuk bermalam di PPS kerana risau dengan 13 kambing yang dibela kerana kandang haiwan itu turut ditenggelami air, " katanya ketika ditemui di Program Masih Ada Yang Sayang, di Kampung Kubang Depu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Persatuan Solidariti Nasional (Persona), Datuk Mohd Zubir Embong dan Presiden Badan Kerja Amal Wanita Profesional Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur (Berkat) Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

MOHD Zubir menyampaikan sumbangan kepada Siti Rozilah. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MOHD Zubir menyampaikan sumbangan kepada Siti Rozilah. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Rozilah berkata, dia sendiri terpaksa membawa seekor anak kambing yang baru berusia dua hari bermalam dalam rumah kerana bimbang lemas dalam air banjir.

"Pada awal pagi hari ketiga, banjir sedikit surut dan baru saya boleh duduk atas meja sementara menanti banjir surut sepenuhnya sebelum terus mencuci rumah," katanya.

Sementara itu, Mohd Zubir berkata, daerah Besut antara daerah paling ramai mangsa terjejas banjir di negeri ini.

"Mereka bukan sahaja memerlukan bantuan dari segi aspek kewangan tetapi juga baik pulih kediaman, sokongan untuk pulihkan emosi serta trauma akibat bencana alam ini.

"Kita menyeru lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Selain menyalurkan bantuan, aspek kesihatan, kebajikan serta keselamatan mangsa banjir juga perlu diambil berat kerana pelbagai penyakit boleh timbul kerana kekurangan bekalan air bersih selepas banjir," katanya.

Pengerusi KRT Kampung Kubang Depu, Mohd Fakaru Azhar Yunus berkata, seramai 100 orang mangsa banjir menerima sumbangan berbentuk wang serta barangan penjagaan diri daripada tiga NGO.

"Kami bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib mangsa banjir di sini dan kerjasama ini diharap akan sentiasa berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 7:00 PM