Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Saya terpaksa membawa selimut tebal ke PPS (pusat pemindahan sementara) untuk memastikan anak tidak mengalami serangan asma secara tiba-tiba kerana cuaca sejuk," kata Rozieta Ismail, 32.

Rozieta yang juga ibu kepada tiga anak berkata, anak sulungnya, Nik Muhammad Adam Hafiz Haikal Nik Soh, 8, sebelum ini kerap berulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan.

Katanya, anaknya baru sahaja keluar dari Hospital Besut pada bulan lalu selepas menerima rawatan selama tiga hari kerana penyakit yang dihidapinya.

"Hafiz mula dikesan mengalami asma sejak berusia empat tahun dan sejak itu saya serta suami terpaksa membawanya ke unit kecemasan hospital setiap kali dia diserang asma.

"Selimut ini antara barang keperluan paling utama bagi Hafiz selain barang keperluan lain seperti susu tepung untuk anak kedua serta lampin pakai buang untuk anak ketiga," katanya ketika ditemui di PPS Masjid Kampung Gong Duek, di sini, hari ini.

Rozieta Ismail, 32 bersama anak sulungnya, Nik Muhammad Adam Hafiz Haikal Nik Soh, 8,  serta dua anak yang lain di PPS Kampung Gong Duek, Besut, di sini, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Rozieta Ismail, 32 bersama anak sulungnya, Nik Muhammad Adam Hafiz Haikal Nik Soh, 8, serta dua anak yang lain di PPS Kampung Gong Duek, Besut, di sini, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Rozieta berkata, anak ketiganya, Nik Nur Aliya Maisarah Nik Soh, tujuh bulan yang baru kali pertama berpindah ke PPS pada awalnya sukar untuk membiasakan diri untuk tidur dalam keadaan cerah.

"Biasanya jika tidur di rumah, kami akan tutup lampu tetapi di sini (PPS), anak terpaksa ambil sedikit masa untuk tidur lena seperti biasa," katanya.

Katanya, dia bersama suami serta tiga anak mereka terpaksa meredah banjir untuk berpindah ke PPS berkenaan kira-kira 8.40 tadi selepas rumah mereka dinaiki air.

"Rumah kami terletak berhampiran alur sungai dan mudah dinaiki air setiap kali tiba musim banjir. Lewat petang semalam air mula penuh di halaman rumah dan waktu Maghrib air semakin deras masuk ke bahagian ruang dapur.

"Nasib baik kami sempat mengalihkan barang elektrik termasuk dapur ke tempat lebih tinggi kerana sejak semalam hujan tidak berhenti.

"Sejak kami mula menetap di rumah itu kira-kira empat tahun lalu hampir setiap tahun terpaksa berpindah jika cuaca buruk, tetapi tidak sangka tahun ini berpindah pada Februari pula kerana selalunya akhir tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 1:06 PM