Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Saya terkejut apabila melihat rumah kami sekeluarga hilang dari pandangan mata hanya tinggal kesan tapak saja," kata Raja Kamaruddin Raja Muhamad, 58.

Katanya, rumahnya antara enam kediaman yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kira-kira jam 3 pagi Isnin lalu.

"Ketika kejadian itu, saya bersama isteri serta lima anak bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung La kerana sehari sebelumnya kawasan ini sudah dilanda banjir tetapi surut pada sebelah petang sebelum air kembali naik pada sebelah malamnya.

"Kami sempat membawa dokumen penting serta sedikit pakaian untuk bermalam di sana sehingga banjir reda," katanya ketika ditemui di Kampung La, di sini, hari ini.

Katanya, banjir kali ini antara bencana paling besar pernah melanda kampung itu dengan paras air dianggarkan setinggi lima meter berbanding banjir besar pada 2014.

Sementara itu, pasangan anak kembarnya, Raja Syahirah Raja Kamaruddin, 26, serta Raja Nursyafiqah Raja Kamaruddin, 26, mengakui sayu apabila rumah mereka membesar musnah dalam kejadian banjir ini.

Syafiqah berkata, kedai yang dibina di hadapan rumah turut hanyut dibawa arus.

"Jika diikutkan ini kali kedua kedai hanyut, kali pertama tahun lalu tetapi sudah dibaik pulih daripada dinding kayu ditukar kepada batu tetapi kembali musnah dilanda banjir," katanya.

Sementara itu, adiknya, Syahirah berkata, mangsa banjir terpaksa bergantung kepada air hujan untuk mandi kerana terputus bekalan air bersih serta air minuman hanya bergantung kepada sumbangan air mineral.

"Kami juga hanya sempat membawa sehelai pakaian ke PPS manakala semua pakaian lain dihanyutkan arus," katanya.

RAJA Kamaruddin bersama anak kembarnya, Raja Syahirah dan Raja Nursyafiqah melihat rumah mereka yang hilang dibawa arus deras di Kampung La. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
RAJA Kamaruddin bersama anak kembarnya, Raja Syahirah dan Raja Nursyafiqah melihat rumah mereka yang hilang dibawa arus deras di Kampung La. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:21 PM