Nurul Fatihah Sulaini

Besut: "Sejak akhir tahun lalu sudah tiga kali kami berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah dilanda air pasang besar," kata Wan Suzana Wan Junaizi, 38, ketika ditemui di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap kali musim tengkujuh, fenomena air pasang besar akan melanda rumahnya dan pada malam 25 Januari lalu adalah antara tragedi paling buruk berlaku hingga memusnahkan rumah jirannya.

Katanya, walaupun kediamannya juga sering dilanda banjir disebabkan air pasang besar namun pada malam berkenaan paras air lebih tinggi berbanding biasa.

"Saya bersama suami, Jeffridin Rashid, 49 serta dua anak saudara jagaan kami terpaksa berpindah ke PPS Balairaya Kampung Pantai, Kuala Besut pada malam kejadian kira-kira jam 11 malam.

"Jika diikutkan akhir tahun lalu sudah tiga kali kami berpindah ke sini kerana bimbang keselamatan diri jika terus berada dalam rumah ketika air pasang besar.

"Kami sekeluarga terpaksa bergadai nyawa tinggal di rumah ini walaupun sedar risiko bahaya menanti kerana tidak mempunyai pilihan lain.

"Saya mengambil upah membuat keropok dengan orang manakala suami tidak bekerja lebih lapan tahun kerana ada masalah kesihatan dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan sahaja.

"Kami merayu supaya projek benteng pemecah ombak muara Kuala Besut segera disiapkan kerana risau lebih banyak rumah penduduk musnah dilanda air pasang besar serta ombak kuat," katanya.

WAN Suzana menunjukkan rumahnya turut  dilanda air pasang besar pada 25 Januari lalu di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
WAN Suzana menunjukkan rumahnya turut dilanda air pasang besar pada 25 Januari lalu di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Sementara itu, Nik Nor Atikah Nik Zuki, 25, berkata ini kali pertama mereka sekeluarga berpindah ke PPS itu kerana bahagian bilik air rumah neneknya turut musnah dalam kejadian itu.

"Selalunya hanya melihat jiran sahaja berpindah namun kali ini kami juga terpaksa mendapat perlindungan di PPS kerana risau kejadian lebih buruk boleh berlaku.

"Bukan sahaja barang rumah rosak ditenggelami air tetapi juga kami terpaksa mengangkut keluar pasir yang masuk bersama air pasang sebelum boleh kembali semula ke rumah," katanya.

Difahamkan seramai 20 mangsa daripada lima keluarga mendapat perlindungan sementara di PPS berkenaan sejak 25 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 2:19 PM