Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Anak perantau yang pulang untuk mengundi esok nekad mengharungi air untuk sampai ke rumah selain ada yang terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) demi melaksanakan tanggungjawab pada negara.

Pengundi di sini, yang bekerja di luar Kelantan mula pulang sejak semalam, untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung esok dan turut merasai pengalaman banjir terutama bagi mereka di penempatan rendah.

Bagi, Nur Shairah Che Mud, 29, sebaik sampai di kampung halaman malam tadi, dia terpaksa menumpang tidur di rumah ibu saudara sebelum pulang dengan mendayung perahu ke kediamannya di Kampung Tersang di sini, hari ini.

"Kampung saya dinaiki air separas 1.5 meter sejak dua minggu lalu, menyebabkan saya perlu menggunakan perahu untuk masuk ke rumah.

"Jarak rumah dengan jalan besar hanyalah 100 meter tetapi air naik dengan paras yang tinggi.

"Nasib baik keluarga saya memang memiliki perahu fiber sendiri yang memang sedia ada untuk digunakan setiap kali banjir.

"Jadi saya mendayung sendiri perahu untuk mengangkut barangan.

"Walaupun ditimpa musibah banjir, Insya-Allah saya tetap akan keluar mengundi esok demi tanggungjawab pada negara," katanya yang bekerja kilang di Shah Alam, Selangor.

Nur Shairah berkata, dia terpaksa menggunakan jalan yang agak jauh untuk ke pusat mengundi kerana laluan biasa masih digenangi air dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan.

Menurutnya, biasanya jarak ke pusat mengundi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok di sini, hanyalah sekitar lapan kilometer (km) namun terpaksa menggunakan jalan lebih jauh.

Sementara itu, Siti Ainshah Zahariman, 26, dia terpaksa bermalam di PPS SK Kubang Kual di sini, selepas seluruh keluarganya berpindah ke situ sejak seminggu lalu.

"Saya memang tahu dari awal lagi tentang keluarga yang berpindah ke PPS, namun tidak menyangka mengambil masa yang lama sehingga saya sendiri terpaksa bermalam di sini malam tadi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ada juga tempat untuk kami sekeluarga berteduh. Tambahan pula, saya sendiri perlu mengundi di sini kerana SK Kubang Kual turut dijadikan pusat mengundi.

"Saya berharap proses mengundi esok berjalan lancar dan banjir segera surut supaya semua keluarga dapat kembali ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:02 PM
NUR Shairah mendayung perahu sendiri untuk mengangkut barang sebaik tiba dari Shah Alam susulan kediamanya dinaiki air di Kampung Tersang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA.
NUR Shairah mendayung perahu sendiri untuk mengangkut barang sebaik tiba dari Shah Alam susulan kediamanya dinaiki air di Kampung Tersang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA.