ROSLIZA membawa anaknya, Wan Ielias Danial bersama mangsa banjir lain berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Amer selepas kemudahan PPS Dewan Sivik Alor Lintang tidak mencukupi. FOTO Bernama
ROSLIZA membawa anaknya, Wan Ielias Danial bersama mangsa banjir lain berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Amer selepas kemudahan PPS Dewan Sivik Alor Lintang tidak mencukupi. FOTO Bernama
Nurul Fatihah Sulaini


BELUM hilang penat berpindah dan membawa ahli keluarga meredah banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sivik Alor Lintang, enam keluarga terpaksa berpindah sekali lagi ke PPS yang lain.

Tindakan itu dibuat susulan kemudahan di dewan itu tidak mencukupi menyebabkan mereka dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kampung Amer dengan bantuan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jam 2 petang.

Seorang mangsa, Rosliza Abdul Rahman, 36, berkata, mereka sekeluarga hanya menyedari kawasan kediaman mereka di Taman Putera Perdana, Alor Lintang dinaiki air jam 3 pagi semalam.

“Ada jiran yang ketuk pintu rumah memaklumkan air semakin naik sebelum suami Wan Noriman Wan Zahari, 40, segera keluar mengalihkan kereta ke tempat lebih selamat.

“Saya bersama suami serta tiga anak kami termasuk bayi Wan Ielias Danial Wan Noriman, enam bulan mengharungi banjir pada paras lutut sebelum menaiki kereta ke dewan sivik,” katanya.

Rosliza berkata, mereka tinggal menyewa di situ sejak Februari lalu dan tidak menyangka kawasan itu kerap dilanda banjir.

“Jika diikutkan ada lebih 50 rumah di kawasan itu dan kemungkinan selepas ini kami berpindah ke rumah lain yang selamat daripada banjir,” katanya yang ditemui di PPS Dewan Sivik Alor Lintang, semalam.

NIK Marhaida mendukung bayinya, Nawlaa Asyifa berpindah ke dewan di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
NIK Marhaida mendukung bayinya, Nawlaa Asyifa berpindah ke dewan di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Normadiah Mat Jusoh, 45, berkata, dia bersama tujuh anaknya terpaksa bermalam di hotel kerana rumah mereka ditenggelami air pada paras lutut, begitu juga jiran-jiran lain yang bermalam di inap desa.

“Sejak tujuh tahun tinggal di taman itu hampir setiap tahun rumah dinaiki air tetapi ini kali pertama berpindah dua kali ke PPS, selalunya hanya sekali sehingga banjir pulih.

“Disebabkan tiada kemudahan tempat memasak disediakan di dewan sivik saya terpaksa meminjam dapur di kedai makanan berdekatan sebelum keluar arahan untuk berpindah kali kedua.

“Jika diikutkan memang letih terpaksa berpindah banyak kali tapi kami tiada pilihan kerana tiada tempat untuk bermalam,” katanya.

Sementara itu, Nik Marhaida Abdul Razak, 27, berkata, malam semalam mereka lima sekeluarga tidur di ruang tamu bersama anak sulungnya Nawlaa Asyifa Muhammad Rafiruddin, empat bulan dengan beralaskan toto.

Katanya, dia hanya menyedari air masuk ke dalam rumah ketika bangun untuk menyusukan anak sekitar jam 4 pagi dan air mula membasahi tempat tidur mereka.

“Kami mula berpindah ke dewan di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih jam 9 pagi,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Padang Luas, semalam.

Sementara itu, Normah Yaakob, 44, Kampung Tanjung Alir, berkata, anak keduanya, SalmanYusof, 20 terpaksa mendukungnya sejauh 20 meter mengharungi air untuk menaiki kereta kerana kaki kanannya dipotong akibat kencing manis awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 6:30 AM