Mohd Roji Kawi


Kuching: Keputusan berhubung beberapa tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat kabinet, 4 Januari depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara yang dijangka diputuskan ialah penurunan kuasa kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Fadillah berkata, beliau sudah memanggil Jawatankuasa Teknikal MA63 yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali bagi memperhalusi perkara terbabit termasuk perkara yang dirancang dan dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

Menurutnya, tiga perkara utama yang diberi perhatian kini ialah perkara yang sudah diselesaikan menerusi penurunan kuasa, perkara yang sudah dibincangkan dan sudah mendapat keputusan dasar serta perkara yang sedang dalam perbincangan tetapi belum mendapat keputusan dasar manakala satu lagi perkara tambahan yang di luar bidang MA63 tetapi diminta oleh Sabah dan Sarawak.

"Itu antara perkara yang diberi tumpuan dalam tempoh sebulan (tempoh yang diberikan Perdana Menteri untuk diselesaikan bermula 5 Disember lalu).

"Sehingga kini, apa yang saya lihat boleh dipersetujui antaranya ialah penyerahan sebahagian daripada kuasa kepada agensi teknikal, cuma jumlah akan diberi kuasa sedang dimuktamadkan walaupun Sabah dan Sarawak meminta keseluruhan kuasa itu," katanya.

FADILLAH mengagihkan biskut di restoran di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH mengagihkan biskut di restoran di Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan biskut kepada orang ramai sempena perayaan Krismas di restoran di sini, hari ini.

Mengulas lanjut,Fadillah berkata, rundingan penurunan kuasa kepada agensi teknikal itu memerlukan masa kerana membabitkan banyak pihak termasuk Kementerian Kewangan.

"Sebab itu kita (mencadangkan) akan buat secara interim dahulu kerana menerusinya sekurang-kurangnya ada bidang kuasa yang yang boleh diserahkan terus kepada JKR dan JPS di Sarawak serta Sabah," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya juga akan mendapatkan keputusan kabinet berhubung perkara yang sudah mendapat persetujuan secara dasar di peringkat Majlis MA63 lalu yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya lagi, keseluruhannya tujuh perkara dasar sedang diusahakan untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, ada perkara yang membabitkan pindaan perlembagaan yang tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

"Ada yang (dijamin) dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan (seperti yang ditetapkan) dan ada yang kena tunggu sidang Parlimen untuk dibentangkan bagi mendapat kelulusan sebelum kita boleh memukmatadkannya kerana membabitkan pindaan perlembagaan," katanya.

Mengenai perkara di luar MA63 yang turut dibincangkan jawatankuasa teknikal ketika ini, Fadillah berkata, ia juga akan diumumkan oleh Anwar 4 Januari nanti.

"Perdana Menteri akan umumkan nanti, kalau saya cakap sekarang, tiadalah kejutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 12:18 PM