Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan memberi tumpuan menaik taraf kemudahan polis yang semakin usang khususnya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banyak balai polis di dua wilayah itu serba kekurangan yang perlu ditangani segera bagi memberi keselesaan kepada anggota.

Fadillah berkata, beliau kagum dengan semangat anggota pasukan keselamatan itu yang tetap menjalankan perkhidmatan cemerlang menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara walaupun tempat mereka bertugas serba kekurangan.

"Saya diberi amanah oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menjaga infrastruktur di Sabah serta Sarawak dan antara yang perlu diberi perhatian ialah kemudahan polis seperti balai dan kuarters serta kemudahan lain.

"Berdasarkan taklimat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini, saya dimaklumkan beberapa balai di luar bandar perlu dinaik taraf segera berikutan keadaan yang usang dan serba kekurangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke IPK Sarawak di Jalan Badruddin, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau diberi taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapari mengenai infrastruktur polis di wilayah ini.

FADILLAH ketika ditemui media selepas Lawatan Kerja di IPK Sarawak di Jalan Badruddin Kuching. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH ketika ditemui media selepas Lawatan Kerja di IPK Sarawak di Jalan Badruddin Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Fadillah berkata, dalam taklimat itu beliau dimaklumkan tiga balai polis di Sarawak perlu diberi perhatian segera iaitu Balai Polis Julau, Balai Polis Song dan Balai Polis Matu Daro.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan menaik taraf balai-balai polis di luar bandar Sabah dan Sarawak khususnya tiga balai polis itu yang kini berkeadaan daif.

"Penambahbaikan kemudahan ini penting untuk meningkatkan moral anggota kerana menjadi tanggungjawab kita (kerajaan) menyediakan kemudahan sekurang-kurangnya tahap minimum kerana kita harus berlaku adil selepas mereka memberikan perkhidmatan terbaik menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Selain itu katanya, dalam taklimat itu beliau turut dimaklumkan keadaan fizikal bangunan IPK Sarawak yang agak lama juga perlu diberi perhatian dan beliau bersedia menyalurkan peruntukan khas Timbalan Perdana Menteri untuk kerja menaik taraf.

"Begitu juga dengan keadaan sembilan balai polis di Kuching yang memerlukan penambahbaikan dan saya dimaklumkan memerlukan peruntukan kira-kira RM500,000 untuk balai-balai berkenaan.

"Saya bersetuju memberikan peruntukan (dana Timbalan Perdana Menteri) kepada sembilan balai itu yang akan disalurkan terus kepada IPK Sarawak manakala bagi tiga balai paling teruk itu saya akan bawa ke kementerian berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:13 AM