FADILLAH Yusof bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang pau menjelang sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. FOTO Bernama
FADILLAH Yusof bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang pau menjelang sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) dijangka dimuktamadkan bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dua ahli baharu yang akan mewakili Sabah dan Sarawak dicadangkan dalam penstrukturan semula jawatankuasa itu.

Menurutnya, draf memorandum penstrukturan semula itu sudah siap dan akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan dalam masa terdekat.

"Dalam penstrukturan semula itu kita cadangkan untuk memasukkan wakil dari Sabah iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan wakil Sarawak pula Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang.

"Walaupun saya sendiri (selaku pengerusi jawatankuasa) dari Sarawak tetapi saya memerlukan seorang lagi menteri dari Sarawak untuk duduk dalam jawatankuasa itu dan akan membantu termasuk menjawab di Parlimen ketika ketiadaan saya," katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Ang Pau dan Sumbangan Tahun Baru Cina kepada Warga Emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU) kawasan Matang di Dewan SUPP Sungai Tengah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, penstrukturan semula jawatankuasa teknikal dilakukan berikutan tiada lagi portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) yang sebelum ini disandang Datuk Armizan Mohd Ali.

Perundingan isu berbangkit MA63 dilaksanakan dalam tiga peringkat dengan yang tertinggi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut berada di dalam majlis berkenaan.

Kedua ialah JKTMTPMA63 yang diketuai Fadillah manakala ketiga pula jawatankuasa kerja yang diwakili semua pegawai kerajaan yang akan membincangkan perkara asas tuntutan MA63.

"Perkara asas itu akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk kami putuskan dan akhirnya akan dibawa pula ke Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 12:40 PM