GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Penurunan kuasa autonomi bidang pendidikan Sarawak bergantung kepada laporan kumpulan kerja yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kumpulan kerja itu ditubuhkan khusus bagi mengkaji sama ada beberapa kuasa berkaitan pendidikan boleh diturunkan atau diserahkan kembali kepada Sarawak.

Menurutnya, kumpulan kerja terbabit dijangka melaporkan kepada Jawatankuasa Teknikal MA63 mengenai hasil perbincangan dalam tempoh sebulan.

"Sarawak membentangkan kes itu dan di peringkat Persekutuan pula menilai semua cadangan, selepas itu satu kumpulan kerja dibentuk Jawatankuasa Teknikal MA63.

"Kumpulan kerja itu akan menyediakan laporan mengenai keputusan perbincangan sama ada Kerajaan Persekutuan boleh menyerahkan atau menurunkan kuasa pendidikan kepada Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Sibu Power Boat Race 2023 di Sibu, petang kelmarin.

Fadillah berkata demikian ketika ditanya berapa lama usaha Sarawak untuk mendapatkan autonomi pendidikan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, hak Sarawak untuk mendapatkan autonomi pendidikan dimasukkan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 yang menjadi asas kepada MA63.

"Perbincangan sedang berjalan dan kita perlu menunggu dalam tempoh sebulan lagi, selepas itu kita lihat apa hasil daripada perbincangan kumpulan kerja terbabit sebelum kita boleh membuat pengumuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 1:05 PM