Datuk Seri Fadillah Yusof. FOTO NSTP.
Datuk Seri Fadillah Yusof. FOTO NSTP.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) meminta empat kementerian supaya mempercepatkan urusan bagi memuktamadkan semua perkara yang sudah diputuskan secara dasar yang dirundingkan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, semua urusan itu perlu diselesaikan segera sebelum ia dibawa ke mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dibawa ke Dewan Rakyat, Mei ini untuk pindaan beberapa perkara.

"Kami sudah memanggil semua wakil kementerian yang ada hubung kait dengan perkara MA63 dan meminta mereka mempercepatkan segala urusan berkaitan tanggungjawab kementerian masing-masing.

"Kementerian Kewangan misalnya, mereka perlu membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen supaya pelantikan ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari Sarawak dan Sabah dimasukkan di dalam undang-undang.

"Secara pentadbiran memang ia sudah dilaksanakan dan wakil Sarawak serta Sabah sudah pun dilantik tetapi dari segi perundangan belum lagi, jadi RUU itu yang perlu dipinda segera pada persidangan Dewan Rakyat Mei ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 berkata demikian kepada media selepas Program Moreh Santai Bersama Pemuda Parlimen Petra Jaya di Nekgo's Place, Jalan Matang, di sini, malam tadi.

Menurut Fadillah, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pula diminta segera memuktamadkan dengan kerajaan Sarawak dan Sabah berhubung isu tanah negeri yang sudah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi tidak dibangunkan.

"Ini berikutan dasar sekarang menetapkan jika tanah yang sudah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan itu tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun, ia perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri.

"Jika agensi Kerajaan Persekutuan tetap mahu menggunakan tanah itu, mereka perlu memberi justifikasi kenapa tanah itu tidak perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurutnya, banyak tanah yang sudah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan tidak dibangunkan dengan yang dikenalpasti akan dikembalikan ketika ini adalah tiga di Sarawak dan dua di Sabah.

"Apa yang kita mahu sekarang ialah mereka harus memuktamadkan yang mana (tanah) yang masih diperlukan untuk pembangunan (Persekutuan) dan mana yang akan dikembalikan kepada kerajaan negeri.

"Jika dikembalikan kepada kerajaan negeri, apa pula kaedah yang harus dimuktamadkan. Adakah memadai memulangkan premium yang sudah dibayar dulu atau perlu membayar mengikut apa yang sudah dibangunkan di atas tanah itu," katanya.

Fadillah berkata, bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan pula, perundingan berhubung urusan hal ehwal pentadbiran perlu dimuktamadkan sama ada ianya boleh diserahkan sepenuhnya kepada Sarawak dan Sabah.

"Yang ini adalah perbincangan yang perlu dilaksanakan antara dua kementerian di peringkat Persekutuan dengan kementerian (sama) di peringkat negeri.

"Kementerian (di peringkat Persekutuan) perlu tahu, apa skop yang kerajaan negeri hendak laksanakan (dalam hal ehwal pentadbiran pendidikan dan kesihatan)," katanya.

Menurutnya lagi, keputusan dasar berhubung perkara yang berkaitan dengan empat kementerian terbabit sudah dicapai yang bermakna ia boleh diselesaikan dalam masa terdekat.

"Bagi kementerian yang belum mencapai keputusan dasar saya minta mereka bentuk pasukan petugas khas untuk berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi membolehkan ia dimuktamadkan secepat mungkin dan jika ada yang tidak dipersetujui, ia boleh kepada peringkat kepimpinan tertinggi MTPMA63 yang dianggotai Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 12:03 PM