Nor Fazlina Abdul Rahim


Tanah Merah: Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor yang berlaku insiden tanah runtuh Jumaat lalu, dijangka dibuka untuk pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sedang membuat pemantauan sebelum keputusan laluan itu dibuka kerana mahu memastikan ia benar-benar selamat.

Katanya, sehingga kini pihaknya mengesan masih berlaku pergerakan bawah tanah antara 2 hingga 4 milimeter (mm) menyebabkan laluan berkenaan masih tidak selamat.

"Kami mendapat permintaan supaya laluan berkenaan dibuka kerana walaupun terdapat laluan alternatif, ianya jauh dan mengambil masa.

"Setiap permohonan kami akan pertimbangkan dan kami jangkakan dalam tempoh seminggu lagi laluan berkenaan akan dibuka kepada pengguna motosikal sahaja.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Jambatan Kusial, di sini, yang mengalami runtuhan dan hakisan tebing di bawah jambatan itu akibat banjir pada Ahad lalu.

ALEXANDER Nanta (tiga kanan)  mendengar penerangan daripada Jurutera JKRTanah Merah, Raja Rusdy Irwan Raja Hussin ketika meninjau lokasi kerosakan Jambatan Jalan Machang-Jeli akibat bencana banjir di bawah Jambatan Kusial Tanah Merah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALEXANDER Nanta (tiga kanan) mendengar penerangan daripada Jurutera JKRTanah Merah, Raja Rusdy Irwan Raja Hussin ketika meninjau lokasi kerosakan Jambatan Jalan Machang-Jeli akibat bencana banjir di bawah Jambatan Kusial Tanah Merah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Beri peluang kepada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan keselamatan di laluan berkenaan. Kita tidak mahu tergesa-gesa membuka laluan itu hanya kerana desakan netizen kerana apa yang penting adalah aspek keselamatan," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pembukaan laluan berkenaan akan dibuat secara berperingkat dan pihaknya berharap orang ramai bersabar.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu, yang terletak di Gohtong Jaya.

Sehingga kini, 30 orang ditemui meninggal dunia, 61 selamat dan seorang lagi mangsa belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 1:39 PM