Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Kos sehingga RM100 juta yang diperlukan untuk membaiki Lebuhraya Timur Barat Gerik–Jeli, menyebabkan pembinaan semula jajaran itu sukar dilaksana sepenuhnya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau maklum mengenai keadaan jalan menghubungkan Perak dan Kelantan itu yang agak teruk, malah sudah diberi taklimat mengenainya.

"Untuk pembinaan semula di sepanjang laluan berkenaan memerlukan RM80 juta hingga RM100 juta.

"Namun disebabkan kita hanya dapat peruntukan RM30 juta, kita akan melaksanakan di sebahagian laluan berkenaan terlebih dahulu dijangka tahun ini.

"Perincian projek sama ada ia membabitkan berapa kilometer dan bermula dari mana... dari Jeli atau Gerik, ia belum dibincangkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan jejambat dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

ALEXANDER Nanta Linggi hadir melihat pembinaaan projek jejambat dari arah Kota Bharu merentangi bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALEXANDER Nanta Linggi hadir melihat pembinaaan projek jejambat dari arah Kota Bharu merentangi bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, penggantian struktur laluan Lebuhraya Timur Barat Gerik–Jeli bernilai RM80 juta antara perkara yang dibincangkan delegasi kerajaan negeri Perak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dipetik berkata, masalah itu memerlukan tindakan segera kerana keadaan jalan teruk dan meresahkan pengguna jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 12:12 PM